40 Hari Tayangan, Boboiboy Kutip RM16 Juta


Filem animasi popular, BoboiBoy: The Movie nampaknya terus mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya mengutip RM16 juta selepas 40 hari ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Malah, filem arahan Nizam Razak ini turut ditonton oleh 1.5 juta penonton sejak ditayangkan pada 3 Mac lalu.

BACA: Pengarah Yakin Mampu Kutip Lebih RM20 Juta

Bukan itu sahaja, menerusi kutipan jumlah yang menakjubkan itu juga, cereka pengembaraan animasi terbitan Animonsta Studio dan diedarkan oleh Primeworks Studios itu juga telah diangkat sehingga menjadi judul animasi tempatan paling laris di seluruh pawagam Malaysia.

Selain itu, menurut kenyataan Primeworks semalam, filem BoboiBoy juga kini berada di tempat keempat filem cereka terbitan negara ini dengan kutipan tertinggi secara keseluruhan. Manakala filem Polis Evo ketika ini masih berada di tempat teratas dengan kutipan RM18 juta, diikuti dengan The Journey dan Munafik.

BoboiBoy: The Movie ini adalah sebuah filem yang diadaptasi dari siri animasi BoboiBoy yang ditayangkan di saluran TV3 sejak tahun 2011. Sejak dari itu, filem animasi ini terus menjadi kegilaan kanak-kanak, bukan sahaja di Malaysia namun juga di negara jiran seperti Indonesia. (rkty/w)

Download