Adolf Hitler didakwa bersembunyi di Brazil
SEKEPING gambar yang didakwa membuktikan bahawa Hitler tinggal di sebuah bandar kecil di Brazil.- Agensi
BERLIN - Bekas diktator Jerman, Adolf Hitler sebelum ini dipercayai membunuh diri di sebuah kubu bawah tanah di sini tahun 1945 menjelang kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua.
Namun, seorang penulis, Simoni Renee Guerreiro Dias dalam bukunya, Hitler in Brazil mengejutkan banyak pihak apabila dia mendakwa bekas diktator itu meninggal dunia pada tahun 1984 selepas hidup dalam penyamaran di sebuah bandar kecil dekat sempadan Brazil dengan Bolivia.
Dias berkata, Hitler berjaya melarikan diri dari tempat persembunyiannya di sini dan menuju ke Amerika Selatan.
Penulis berkenaan mengemukakan sekeping gambar gambar menunjukkan Hitler bersama seorang wanita kulit hitam untuk membuktikan dakwaannya.
Melalui bukunya, Dias mencabar pendapat ramai ahli sejarah yang percaya Hitler menembak dirinya di kubu bawah tanah berkenaan pada 20 April 1945.
Pengarang tersebut sebaliknya memberitahu, bekas pemimpin Parti Nazi itu melarikan diri ke Argentina dan kemudian ke Paraguay sebelum menetap di Mato Grosso, Brazil.
Menurutnya, Hitler kemudian menetap di sebuah bandar kecil, Nossa Senhora do Livramento bersama seorang teman wanita.
Menurut Dias, Hitler sengaja memilih wanita kulit hitam sebagai kekasih bertujuan untuk mengelirukan musuh-musuhnya.
Sebelum ini, bekas diktator tersebut terkenal kerana membenci bangsa Yahudi dan kulit hitam tetapi memuliakan bangsa Aryan.
Dias merancang untuk menjalankan ujian DNA dengan menggunakan seorang saudara Hitler yang tinggal di Israel setelah diberi kebenaran untuk menggali kubur Adolf Hitler yang didakwa ditanam di Nossa Senhora do Livramento bagi membuktikan dakwaannya. - Agensi