KWSP Beri Amaran kepada Public Mutual


 



KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menarik balik penggantungan perkhidmatan Public Mutual Bhd sebagai satu Institusi Pengurusan Dana (IPD) mulai hari ini.

Public Mutual dalam kenyataannya berkata, ini adalah berikutan penjelasannya bahawa pelanggaran peraturan sudah dibuat oleh seorang perunding saham amanah (UTC) yang tidak mematuhi peringatan ketat syarikat itu mengenai peraturan KWSP.

"Dengan penarikan balik penggantungan oleh KWSP ini, Public Mutual terus menjadi satu IPD di bawah Pengeluaran Pelaburan Simpanan ahli KWSP.

"KWSP terserempak dengan UTC berkenaan yang mengedarkan risalah yang tidak dibenarkan di Shah Alam dan ia sentiasa mengingatkan kesemua UTC bahawa mereka tidak dibenarkan menggunakan mana-mana bahan jualan serta pemasaran, yang termasuk bahan yang membuat sebarang rujukan terhadap KWSP dan logo KWSP, selain daripada yang diluluskan oleh syarikat itu," katanya.

Sehubungan itu, Public Mutual akur bahawa ia tidak bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran peraturan yang dilakukan oleh mana-mana UTC terhadap peraturan KWSP.

Memandangkan keseriusan perkara itu, syarikat itu berkata, ia sudah mengambil tindakan yang wajar terhadap UTC yang melanggar peraturan KWSP itu.

Semalam, KWSP memaparkan di laman webnya bahawa perkhidmatan Public Mutual sebagai IPD di bawah pengeluaran pelaburan Simpanan Ahli KWSP digantung berkuatkuasa mulai 29 Oktober 2012.

Dalam pengumuman itu, KWSP menyatakan bahawa Public Mutual Bhd (Kod IPD 03) adalah tidak dibenarkan membuka akaun untuk ahli KWSP dan / atau menerima sebarang pemindahan simpanan ahli dari KWSP mulai dari 29 Oktober 2012.

Bagaimanapun, ia menyatakan bahawa IPD berkenaan masih bertanggungjawab menguruskan pelaburan simpanan ahli KWSP yang dipindahkan sebelum 29 Oktober 2012. - Bernama
Download