Kalaulah dapat bini macam ni...


Tidak sayang mulut sungguh rakan yang bertanya, mengapa saya menulis mengenai hantaran kahwin minggu lalu.

Kata mereka, mengapa saya tiba-tiba ambil berat hal itu? Adakah kerana saya ada hasrat untuk ‘pasang’ lagi satu? Jawapannya, tidak! Ini tidak ada kena mengena dengan diri saya.

Apa yang saya tulis didorong oleh rasa prihatin meskipun saya sedar, soal hantaran adalah hak pengantin dan keluarga pengantin.

Saya hanya mahu mengingatkan kepada mereka yang berkenaan supaya isu ini tidak sampai mencetuskan masalah kepada pasangan yang baru hendak memulakan hidup berumah tangga. Mana yang boleh dipermudahkan, elok dipermudahkan.

Itu sahaja. Jangan kata hendak ‘pasang’ satu lagi, melihat nilai hantaran kahwin zaman sekarang sahaja pun, saya berulang kali mengucap syukur kerana lahir pada 1971, bukan 1991.

Kalaulah sekarang baru sampai umur layak berkahwin, mana nak ‘cekau’ hantaran yang berpuluh ribu itu?

Iyalah, takkan yang tidak bersekolah kita nak jadikan isteri.

Bukan kerana memilih tetapi bukan senang hendak cari yang seperti itu sekarang sebab kita pun tahu, perempuan jauh lebih ramai yang masuk universiti berbanding lelaki.

Payah jumpa yang hanya ada sijil UPSR ataupun SRP. Apa pun, hal ini baik juga untuk kita jadikan motivasi. Daripada empat anak saya, tiga adalah lelaki.

Saya sering ingatkan mereka, apabila dewasa kelak, jangan kata hendak hidup mewah, hendak berbini pun susah jika tidak berkelulusan tinggi.

Kalau sekarang sudah berpuluh ribu, bukan mustahil sepuluh atau 20 tahun lagi boleh mencecah hingga RM100,000. Itu baru hantaran! Kalau sekarang hendak dicari yang hanya bersijil PMR/SRP atau SPM sahaja pun sudah susah, nanti mungkin tidak ada langsung perempuan yang bukan graduan universiti.

Apa yang harus diingat, pilih isteri bukan boleh tangkap muat.

Isteri adalah teman suami yang paling rapat. Rakan berbincang yang paling diharap. Maka latar belakangnya pun mestilah setaraf.

Buah fikirannya mesti meyakinkan dan boleh jadi panduan.

Sebab itu, dalam Islam, hal sekufu sangat penting. Kalau setakat pilih pada rupa, hanya pandang sekilas terus jatuh cinta dan mahu dibuat isteri, silap hari bulan boleh menyesal kemudian hari.

Saya teringat satu kisah yang pernah dibualkan bersama rakanrakan di kedai kopi: Seorang anak muda usahawan agro yang sangat berjaya, terpikat kepada seorang gadis jelita yang tidak diketahui latar belakangnya.

Namun didorong rasa cinta yang membuak-buak dek kerana terpukau pada rupa sejak pandangan yang pertama, si usahawan agro itu tidak berfikir panjang lalu membuat keputusan
untuk meminang selepas mendapat serba sedikit maklumat mengenai gadis idaman.

Kerana dia sememangnya mampu, hati pula mendesak-desak mahu bersatu, maka bersandinglah mereka hanya selang beberapa minggu.

Si usahawan agro ini sememangnya sangat berjaya. Kejayaan dimiliki atas usaha sendiri kerana dia tidak pernah mendapat pinjaman kerajaan hingga beratus juta.

Selepas bersanding, dia membawa isterinya bersiar-siar di ladang untuk merakam gambar kenangan. Selain menikmati keindahan yang saujana mata memandang, tujuannya adalah
untuk isterinya berasa lebih santai dan tenang.

Maklumlah, gadis yang baru berkahwin, tentu debaran hatinya menderu-deram.

Ada pun ketika bersiar-siar, terpandanglah mereka akan adegan sepasang lembu sedang mengawan.

Kebetulan pula pada masa yang sama, si suami yang perasaan mahunya menggodam godam, sedang tercari-cari perkataan, bagaimana cara mahu mengajak isterinya bertukar-tukar 'cenderamata' itu malam.

Hendak berterus terang, dia terasa malu, hendak berkiaskiasan, dia tidak tahu.

Lalu apabila terpandang adegan lembu mengawan, dia tiba-tiba mendapat ilham. Lalu berkatalah usahawan agro yang sangat berjaya itu kepada isterinya:

“Sayang, abang teringinlah nak buat macam lembu tu...” Lalu isterinya pun menjawab: “Buatlah bang, itu kan lembu abang!”

ditulis:Md Mat Yakim
Download