Setelah selamat melangsungkan majlis resepsi perkahwinan mereka Sabtu lalu, pasangan merpati dua sejoli, Amar Baharin dan Amyra Rosli memilih Tokyo sebagai destinasi bulan madu mereka. Mengimpikan untuk berkunjung ke taman tema Disneyland di Tokyo pada 24 November ini, Amyra merasa begitu teruja sekali selepas sekian lama tidak berehat panjang.
BACA: Sekitar Majlis Resepsi Perkahwinan Amar Baharin, Amyra Rosli
“Dalam perkahwinan kami percaya kesepakatan antara pasangan pasti akan lebih melancarkan hubungan. Oleh itu sebagai ketua keluarga, saya perlu lebih bersikap terbuka dengan Amyra. Saya sama sekali tidak akan menghalang dirinya terus aktif dalam bidang seni selepas berkahwin kerana itu adalah minat Amyra. Lagipun saya sangat mempercayainya”
“Saya teringin nak melawat taman tema keriangan Disneyland di Tokyo kerana tempat itu adalah antara destinasi yang menjadi impian dalam hidup saya selama ini. Amar tahu saya meminati tempat-tempat sebegitu kerana saya dapat melepaskan tekanan kerja yang terbeban selama ini,” katanya kepada Utusan Online mengenai perancangan bulan madu.
Dalam masa yang sama, Amyra turut berkongsi perancangan selepas pulang dari berbulan madu, dimana pasangan ini akan diraikan sekali lagi dengan meriahnya di Singapura pada awal Disember nanti. Majlis berkenaan difahamkan ditaja sepenuhnya oleh kelab peminat pasangan ini di Singapura yang tidak henti menyokong kerjaya mereka didalam dunia seni.
Manakala apabila bercakap soal cahaya mata pula, Amar memberitahu dirinya tidak kisah jika ditakdirkan isterinya terus hamil selepas mendirikan rumah tangga. Malah pasangan ini juga sudah merancang untuk mempunyai empat orang cahaya mata tetapi jika diberikan rezeki lebih pula mereka tidak kisah dan menerima dengan hati terbuka. (rkty/w)