Jika Krabi sinonim sebagai lesen backpackers bagi rakyat Malaysia, tidak keterlaluan kami mengatakan India adalah lesen backpackers sedunia. Setelah beberapa kali ber-backpacking ke India dan beberapa negara lain, berikut sebab mengapa kami meletakkan India sebagai lesen backpackers sedunia.
1. 3 lokasi menarik di India hampir sama dengan di 3 negara lain
Anda ingin mengembara ke seluruh pelosok dunia tetapi tidak bersedia membelanjakan wang yang banyak? Anda ingin bermain ski hari ini, kemudian keesokan hari mengembara di padang pasir, dan seterusnya mendaki gunung hijau tetapi tidak bersedia terbang ke negara berlainan?
Anda hanya perlu ke India.
Anda tidak perlu ke Switzerland untuk melihat pergunungan Alps. India menawarkan pergunungan Himalaya yang indah di Kashmir. Anda tidak perlu ke Dubai untuk desert safari, padang pasir di Rajasthan juga tidak kurang hebatnya. Niagara Falls di Canada atau USA? Chitrakote Waterfalls di Chhattisgarh sudah cukup memukau mata.
Persediaan pertama untuk mengelilingi dunia adalah dengan melawat India.
2. Murah dan jimat
Antara ciri para backpackers adalah ingin mengembara jimat dan semurah mungkin. Kita mencari jalan dan menyusun strategi kreatif bagi mengurangkan kos ringgit yang dikeluarkan. Dan semua itu boleh kita dapati di India.
Hotel penginapannya murah, makanannya murah, pengangkutannya murah, tiket keretapi, pakaian, fabrik, cenderahati; segalanya murah di India. Anda seakan menjadi jutawan dalam sekelip mata.
Murah dan berbaloi itu dua perkataan yang berbeza makna. Boleh jadi sesuatu itu murah, tetapi tidak berbaloi. Dan boleh jadi sesuatu itu berbaloi, tetapi harganya tidaklah murah. Ini membawa kepada hujah ketiga kami tentang mengapa India adalah ‘lesen’ backpackers sedunia.
3. Syurga para Foodpackers
Siapa itu foodpackers?
Foodpackers adalah gabungan perkataan ‘food’ dan ‘backpackers’. Ianya sebuah konsep mengembara yang baru diperkenalkan dan semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.
Secara umumnya mereka ini adalah golongan yang mengembara untuk merasa makanan tempatan sesebuah negara. Mereka sentiasa percaya bahawa salah satu cara yang paling berkesan untuk mendalami budaya sesebuah negara adalah melalui makanannya.
Sebagai negara besar yang mempunyai 28 buah negeri, India menyimpan 1001 jenis makanan untuk dirasa. Setiap negeri menawarkan makanan yang berbeza, rasa yang tersendiri dan kaedah masakan yang pelbagai.
Makanan India juga turut berevolusi hasil pengaruh jajahan kuasa-kuasa besar. India pernah dijajah hampir 7 kuasa besar dunia; Portugis, Belanda, British, France, Dano-Norwegian, Sepanyol dan Jepun. Setiap kuasa besar ini meninggalkan pengaruh tersendiri terhadap makanan India.
4. Indian Hospitality
Pepatah India ada mengatakan ‘ Athithi Devo Bhava’ yang membawa maksud ‘ tetamu adalah tuhan’.
Memang benar di bandar-bandar pelancongan, hospitality sering kali disalah anggap dan dieksploitasi. Kebanyakan penduduk tempatan mengambil kesempatan dengan menawarkan bantuan ‘percuma’, tetapi meminta upah yang tinggi selepas itu. Perkara itu tidak dapat kita nafikan. Tetapi sangat tidak adil kita memukul rata semua penduduk tempatan begitu. Masih ada jiwa-jiwa yang ikhlas memberi bantuan.
Ketika di Srinagar Kashmir, saya pernah mengikut kenalan India tempatan ke sebuah kuil hindu di atas bukit. Walaupun berlainan agama, mereka tetap memberi layanan yang sangat baik.
Kami dijamu hidangan nasi putih dan kuah kacang hijau yang dipanggil ‘Langgar’. Kemudian kami ke sebuah masjid berdekatan dan dijamu pula teh susu panas dan kuih-muih. Kami juga pernah menumpang lori penduduk tempatan secara percuma ketika susah mendapatkan teksi.
5. Kepelbagaian budaya
Secara umum, India menerima pengaruh dari 2 tamadun tertua dunia. Pertamanya tamadun Indus yang merupakan tamadun kedua tertua di dunia. Dan yang kedua ialah tamadun parsi.
Hujah ini sahaja sudah cukup menggambarkan betapa India memiliki kebudayaan yang pelbagai. Kebudayaan dari segi spritual agama, makanan, pakaian, seni dan reka bentuk bangunan. Kebudayaan ini bukannya sekadar ratusan tahun, malah ribuan tahun.
Populasi penduduk yang padat juga mempengaruhi kepelbagaian budaya dan bahasa. Di Malaysia kita memiliki kurang lebih dari 100 dialek bahasa. Manakala di India sahaja terdapat lebih dari 700 dialek bahasa yang dipertuturkan.