Jempol: Seorang wanita menebalkan muka selepas dimarahi suaminya apabila motosikal yang ditunggangnya disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dalam Op Ambang Merdeka di Kilometer 10, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 30-an itu ditahan pada jam 12.30 tengah malam sewaktu menunggang Honda EX5 bersama anaknya.
“Pemeriksaan mendapati motosikal itu tiada cukai jalan menyebabkannya disita. Sehubungan itu, wanita terbabit menghubungi suaminya bagi memaklumkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata, selang 10 minit kemudian, suaminya datang ke lokasi dan merayu motosikal miliknya tidak disita.
“Dia memberi alasan isterinya mahu ke klinik, tetapi tidak masuk akal kerana tiada premis beroperasi pada tengah malam,” katanya.
Noorzainy berkata, disebabkan anggota JPJ tidak mempedulikan rayuannya, lelaki itu memarahi isterinya di hadapan anggota penguat kuasa.
Menurut Noorzainy, dalam operasi bersepadu itu, pihaknya mengeluarkan 21 saman manakala JPJ mengeluarkan 15 saman atas pelbagai kesalahan.
“Operasi disertai 55 anggota polis dan 15 anggota JPJ turut menyita tiga kenderaan,” katanya operasi jam 11 malam kelmarin berakhir jam 3.30 pagi semalam.