KUALA LUMPUR – Lagak seorang pekerja restoran makanan segera yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan aksi ala Superman pada bulan lalu akhirnya menerima padah apabila dia dihukum penjara sehari dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Trafik di sini semalam.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd. Nayan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Abu Bakar Kamaruzzaman, 18, selepas dia mengaku salah melakukan perbuatann tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 warna hitam didakwa menunggang kenderaan itu dengan cara melulu serta membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini antara pukul 2 pagi dan 2.10 pagi pada 9 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun manakala lesen memandu percubaan dibatalkan.