BERNIAGA NASI LEMAK DI PARIS


“BAK kata orang, kalau sudah Melayu itu, Melayu juga. Mesti cari nasi atau sambal pedas-pedas baharu ada selera makan.
“Jika tiada, perut ini asyik berasa lapar seperti hari yang dilalui itu tidak lengkap pula,” ujar Mohd. Afizuddin Ahmad Apandi atau lebih mesra disapa Affy.


Cetusan perasaan itu dirasainya bersama seorang lagi rakan, Al-Qayyum Mafaudzil saat mereka berdua berada di London, England dan Paris, Perancis dalam misi mengelilingi kota fesyen itu.
Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila agak sukar untuk mencari makanan tradisi Malaysia di negara orang itu.
“Kami mendapati, susah sangat hendak mencari makanan tradisional Malaysia di kota Paris. Jika ada pun, memang sudah digabungkan dengan bahan-bahan masakan di sini.
“Jadi, kami berasa kecewa. Sejak itu, timbul idea untuk berniaga nasi lemak. Kami pulang ke Malaysia dan merancang untuk berniaga dengan modal yang cukup-cukup makan sahaja,” katanya.
Affy memberitahu, detik itu menjadi titik tolak dalam penubuhan perniagaan Nasi Lemak Paris (NLP) kira-kira setahun yang lalu.
Lebih menggembirakan apabila esok merupakan ulang tahun pertama penubuhan NLP.
Selain Al-Qayyum dan Affy, seorang lagi rakan mereka, Fauzi Azami atau Jimmy, turut menjadi rakan kongsi dalam memperkenalkan makanan tradisi Malaysia itu ke Eropah. Ketiga-tiga mereka berusia 28 tahun.
Popular
Ditanya mengapa mereka memilih nasi lemak sebagai produk perniagaan, Affy memberitahu, ia merupakan makanan tradisi masyarakat Melayu yang turut popular di Singapura dan Indonesia. Namun, nasi lemak dikenali sebagai nasi uduk di Indonesia.
“Nasi lemak merujuk kepada nasi yang dimasak dengan santan kelapa. Kadangkala, daun pandan dimasukkan bersama bagi meningkatkan aroma.
“Makanan itu biasanya dihidangkan bersama sambal, timun, telur, kacang dan ikan bilis goreng, namun kini lauk seperti daging, ayam, sotong dan udang turut boleh dinikmati bersama nasi tersebut,” katanya yang pernah bekerja di Restoran Chapter di Jeddah, Arab Saudi selama empat tahun.
Menurut Affy lagi, mereka memilih Paris sebagai destinasi untuk berniaga kerana ia adalah bandar yang paling ramai dikunjungi pelancong dari seluruh dunia dan rakyat Malaysia sendiri gemar ke negara itu.
Jadi, tidak hairanlah apabila 40 peratus daripada pelanggan NLP terdiri daripada rakyat Malaysia manakala 15 peratus dari Singapura, Indonesia (15), Brunei (10) dan rakyat tempatan Perancis (20).
Affy memberitahu, ketiga-kita mereka mempunyai peranan masing-masing dalam melebarkan perniagaan NLP itu.
Misalnya, Affy mempunyai tanggungjawab dalam menyediakan makanan dan melakukan pemasaran. Al-Qayyum pula diberi peranan menjaga hal ehwal kewangan dan penghantaran manakala Jimmy menguruskan pembungkusan.
Tidak lokek berkongsi cerita, Affy memberitahu, semasa mula-mula menjalankan perniagaan, mereka membawa 15 bungkus nasi lemak ke Menara Eiffel untuk dijual, namun tiada seorang pun yang membeli.
“Kami bagi gelandangan tetapi mereka tidak mahu kerana kami bungkus nasi lemak ini menggunakan kertas surat khabar.
“Namun, itulah yang menjadi batu loncatan untuk kami terus berusaha memasarkan makanan Malaysia ini.
“Kami menggunakan medium online iaitu Instagram bagi mempromosikan NLP. Alhamdulillah, tidak sampai setahun, kami berjaya mendapat lebih 21,000 pengikut,” ujar anak kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Perniagaan mereka melonjak naik apabila pelakon, Keith Foo dan isterinya, Kimchi memuat naik gambar NLP di laman Instagram mereka.
Sejak itu, ramai yang mula membuat tempahan nasi lemak setiap kali mereka berkunjung ke Paris.
Ditambah pula dengan cara membuat tempahan yang mudah iaitu melalui aplikasi WhatsApp, ia bukan sahaja memberi kesenangan kepada pelanggan tetapi mereka boleh bertanya apa sahaja soalan tentang nasi lemak yang dijual jika terdapat keraguan.
“Caranya, mereka hanya perlu mengikut panduan yang boleh didapati menerusi Instagram NLP iaitu dengan menulis nama, alamat dan menu pilihan dua hari sebelum membuat tempahan.
“Tiada caj penghantaran dikenakan dalam kawasan sekitar Paris tetapi jika di luar kawasan Paris, kami hanya akan mengambil tempahan yang melebihi 70 euro (RM317),” jelas Jimmy yang berasal dari Kedah.
Bahan mentah seperti ikan bilis dan kekacang dibawakan khas dari Malaysia.
Affy akan menguar-uarkan di laman Instagram untuk bertanya jika terdapat rakyat Malaysia yang ingin ke Paris. Mereka akan membayar harga bahan itu dan memberi nasi lemak percuma sebagai penghargaan.
Antara pengalaman manis yang dilalui mereka bertiga adalah apabila dapat berjumpa dan berkenalan dengan ramai selebriti, kerabat diraja serta orang ternama. Malah, ada antara mereka sudah menjadi kawan rapat.
Antara yang sudah merasai keenakan NLP ialah Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak; pereka fesyen, Rizalman; pelawak dan penyampai radio, Johan; pelakon, Sharnaaz Ahmad dan pengasas produk kecantikan, Datuk Seri Vida.
Kafe
“Rata-rata, mereka amat berpuas hati dengan masakan kami dan ada antara mereka sangat menggemari makanan ini.
“Saya akan repost di Instagram untuk menghargai mereka. Sekarang, masih ada lebih 30 gambar pelanggan kami yang menunggu masa untuk dimuat naik kerana kami mengehadkan satu post sehari,” ujarnya.
Tambah Affy lagi, mereka berharap agar dapat membuka sebuah kafe nasi lemak di seluruh dunia sama seperti rangkaian Hard Rock Cafe.
“Kami berharap untuk membuka kafe nasi lemak di seluruh dunia seperti Nasi Lemak New York dan Nasi Lemak Milan.
“Kami mahu menjadikan ia sebagai satu jenama yang teguh,” katanya sambil memaklumkan, harga untuk sebungkus nasi lemak biasa yang diletakkan bersama sambal, timun, telur rebus, kacang dan ikan bilis adalah 6 euro atau bersamaan RM27 sebungkus.
Selain itu, NLP juga ada menawarkan aneka menu tambahan seperti nasi ayam, nasi minyak, nasi dagang dan pulut kuning.
Sementara itu, Nur Syafinaz Abdul. Wahid, 28, yang pernah merasai keenakan NLP ketika berkunjung ke Paris berkata, suasana sejuk menambahkan lagi keenakan nasi lemak yang boleh dimakan panas-panas.
“Sedap dan puas hati, terubat rindu saya pada masakan Malaysia ketika berada di Paris,” ujar Nur Syafinaz ringkas.




Punca lelaki jatuh hati dengan gadis berbaju muslimah.


Tips promosi bisnes online untuk diberi secara percuma.

Download