Murni sungguh hati penyanyi, Indah Ruhaila apabila baru-baru ini beliau telah menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang sesat di sebuah pusat beli-belah. Walaupun dipuji orang ramai, Indah menganggap ianya adalah sebagai satu tanggungjawab sosial dan sesiapa yang berada ditempatnya akan melakukan perkara sama.
BACA: Indah Ruhaila Rancang Mahu Kahwin Tahun Depan
“Saya bersama keluarga pergi membeli belah di Johor Premium Outlet (JPO) Sabtu lalu, ketika itu saya lihat ada seorang kanak-kanak lelaki lingkungan usia dua tahun berlari-lari seorang diri tanpa pengawasan. Saya tidak sedap hati dan mengekori kanak-kanak itu sehingga dia tidak tahu hendak ke mana dan seperti mencari seseorang”
“Saya mendekati kanak-kanak itu dan bertanya tentang ibu dan bapa dia, tetapi dia kelihatan ketakutan dan mencari-cari ibunya. Dan selepas itu saya minta untuk buat pengumuman tentang kehilangan kanak-kanak, namun pihak polis tidak membenarkan saya berbuat demikian kerana tidak mahu ada pihak tidak berkaitan datang menuntutnya”
“Jadi saya terpaksalah menunggu sehingga ibu-bapanya datang ke balai. Walaupun pihak polis memberi jaminan untuk menyerahkan budak itu dengan selamat, namun saya tetap tidak sedap hati kerana kasihan melihat kanak-kanak itu dalam ketakutan,” jelasnya kepada m Star Online menceritakan bagaimana kejadian itu berlaku.
Bagaimanapun Indah akui merasa sebak apabila melihat ibu kanak-kanak lelaki itu menangis kerana menyangka beliau tidak akan bertemu dengan anak lelakinya lagi. Kejadian itu turut dirakam melalui sekeping gambar Indah membantu kanak-kanak itu yang dimuat naik oleh peminat di laman Instagram dan tindakannya itu dipuji oleh orang ramai. (rkty/w)
via