50 pelajar dan 11 guru SMK Pengkalan Chepa 2 diserang histeria.


PENGKALAN CHEPA: Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, di sini memutuskan untuk menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam bagi menghalau 'lembaga hitam' yang didakwa dilihat oleh pelajarnya.

Menurut pengetuanya, Siti Hawa Mat, kesemua pelajar dan guru juga diberi cuti peristiwa sehari selepas insiden gangguan bermula pada Isnin.

Siti Hawa memberitahu, serangan histeria yang bermula pada Isnin melibatkan 25 pelajar dan ia berulang sekali lagi pada Rabu apabila lebih 50 pelajar dan 11 guru diserang histeria.

Menurutnya, ini pertama kali peristiwa seumpamanya  berlaku di sekolah berkenaan yang dibina pada 2001.

Kesemuanya mendakwa terlihat satu 'lembaga hitam'.

“Saya minta maaf kerana tidak bertanya bentuk hantu. Apabila mereka ditanya, kata lembaga , biasanya kalau histeria orang kata 'lembaga hitam' sahaja,” kata Siti Hawa dalam satu sidang media hari ini.

Menurutnya lagi, keadaan di sekolah terbabit sudah terkawal selepas pengamal perubatan Islam datang membantu.

Katanya lagi pelajar yang diserang histeria juga pulih sekitar tengahari pada Rabu sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu seorang guru yang diserang histeria pada Rabu, Norlailawati Ramli memaklumkan gangguan bermula ke atas pelajar sebelum merebak kepada beberapa guru.

“Bila saya pegang dia (pelajar) memang terasalah macam berat tangan dan bacalah apa saya (ingat), beristifar. Memang hilang kawalan masa itu, lepas dia balik, mula pada saya sebelah kiri memang ada macam orang berpaut.. nampak kelibat, macam hitam begitu,” kata Norlailawati.
Bagi  seorang lagi guru, Kamariah Ibrahim, dia membaca ayat suci Al-Quran sejurus hilang kawalan kerana dipercayai dirasuk.

“Dia (lembaga hitam)macam nak masuk, tetapi kawan-kawan terus baca ayat (Al-Quran) di sekeliling. Rasa besar kepala, rasa kebas,  air mata mengalir tidak berhenti, baca ayat Qursi, kepala jadi ringan adalah dalam masa sejam juga," kata Kamariah.

Sesi persekolahan dengan 1,044 pelajar dan 84 guru ini akan meneruskan sesi persekolahan pada Ahad dengan pemantauan oleh beberapa Ustaz dan pengamal perubatan Islam.
Download