"PECAT MUHYIDDIN, SHAFIE, MUKHRIZ !"



Kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam Umno boleh membawa kepada perpecahan parti, sama seperti krisis yang berlaku pada 1987, kata sebuah laman web pro-Umno.

“Sekiranya Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz tidak dipecat dari parti, berkemungkinan insiden Team A dan Team B yang berlaku pada 1987 akan berulang sekali lagi.

“Umno akan berpecah lagi dan kali ini ia didalangi oleh ‘pemuda bermasalah’ itu lagi…,” kata Mykmu.net yang merujuk kepada peranan Mahathir dalam perpecahan Umno itu.

Pada tahun 1987, Mahathir mengetuai ‘Team A’ yang dicabar oleh ‘Team B’ pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dalam usaha merampas pucuk pimpinan parti dan negara.

Selepas kumpulan Razaleigh tewas, mereka mencabar keputusan pemilihan parti di mahkamah, yang membawa kepada pembatalan pendaftaran Umno pada tahun 1988.

Mykmu menjangkakan keadaan sama sedang berlaku dengan Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz merancang mencabar Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk mentadbir parti.

Ini katanya, sebahagian daripada rancangan mereka untuk masing-masing menjadi perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri kanan.



“Maka jelaslah mereka memang gilakan jawatan dan bukan berjuang demi parti. Berjuang demi parti lain kaedahnya.

“Apabila berdepan dengan krisis dalaman parti, seorang pejuang parti tidak akan bertindak seperti Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz, atau Dr Mahathir sendiri,” katanya.

Menurut portal itu, kerana gilakan jawatan dan bimbang hilang kelayakan bertanding, ketiga-tiga mereka menebalkan muka dan tidak keluar meninggalkan Umno seperti Dr Mahathir.

“Dalam erti kata lain, mereka sebenarnya mahukan kerusi presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

“Hanya jawatan itu saja yang akan membuat mereka menjadi perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri kanan, kata portal itu.

Ia juga membuat spekulasi bahawa dengan terus bersama Umno, ketiga-tiga mereka boleh bermati-matian menyerang Najib sehingga tersungkur.

“Bagi opsyen ini, mungkin mereka lebih suka dipecat dari parti. Jika dipecat, mereka mungkin akan bertambah agresif.

“Menyeluk pekasam biar hingga ke pangkal lengan, alang-alang sudah jatuh, mungkin mereka mahu jatuhkan Najib bersama mereka,” katanya.

Namun portal itu berkata, tindakan yang amat berisiko itu sebnagai ‘bebal’ mereka bukan saja akan melihat Najib jatuh, tapi Umno sendiri akan hilang kuasa.



Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz masing-masing hilang jawatan sebagai timbalan perdana menteri, menteri dan menteri besar selepas lantang menentang Najib.

Mereka dijangka terbabit pada perhimpunan pada 27 Mac ini yang bertujuan untuk menyingkirkan perdana menteri. SUMBER
Download

Related Posts :