MEXICO - Seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa dirinya telah dirogol oleh 30 lelaki, sehari selepas terperdaya dengan sindiket pemerdagangan manusia.
43,200 kali adalah anggaran kasar dia telah dirogol dalam tempoh empat tahun, lapor CNN.
Karla Jacinto mendedahkan, zaman gelapnya bermula apabila dia berusia 12 tahun, selepas dia berkenalan dan berkongsi nombor telefon dengan seorang lelaki berumur 22 tahun.
Mempercayai keikhlasan lelaki itu, mereka kemudiannya bercinta sehinggalah pada satu hari dia membuat keputusan untuk mengikut lelaki itu untuk hidup bersama.
"Saya tinggal bersama dengannya selama tiga bulan dan layanan yang diberikan amat baik dan semuanya sangat indah. Namun, tidak beberapa lama kemudian dia perkenalkan saya dengan seorang bapa ayam sebelum dia menghilangkan diri," katanya.
Akibatnya, Karla dipaksa melacur di Guadalajara, sebuah bandar terbesar di Mexico.
Pada usia 15 tahun, Karla melahirkan seorang bayi perempuan. Malangnya bayi tersebut diambil oleh bapa ayam untuk dijadikan sebagai cagaran jika dia bertindak melarikan diri.
Namun, pada tahun 2008, Karla diselamatkan semasa operasi anti-pemerdagangan manusia yang pada ketika itu dia berusia 16 tahun. Karla kini menjadi aktivis yang lantang bersuara menentang aktiviti pemerdagangan manusia.
Menurutnya, sikap masyarakat yang tidak ambil peduli dan berbuat apa-apa menyebabkan ramai kanak-kanak yang menjadi mangsa culik dan rogol.
"Kanak-kanak yang masih kecil diculik, diumpan dan dirampas dari keluarga mereka. Jangan dengar cakap saya sahaja, anda perlu tahu apa yang terjadi pada saya dan mula membuka mata," tegasnya.