WARGA EMAS MAUT DIHEMPAP TONG GAS 920KG (5 GAMBAR)



Ipoh, 10 Feb - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggang olehnya terbabit dalam satu kemalangan dengan lori yang membawa muatan gas jenis 'Methyl Chloride' sebelum dihempap tong gas berkenaan yang dianggarkan seberat 920 kg di Jalan Lahat dekat Menglembu Bestari di sini pada petang tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu, mangsa Cheah Seaw Oon@Cheah Seaw Oow, 65, maut di tempat kejadian.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ismail Darus, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima oleh pihaknya pada jam 5.27 petang dan satu jentera dan ambulan EMRS dihantar ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa tersepit di bawah tong gas tersebut.

Tambahnya, anggota bomba meminta bantuan trak tunda untuk menarik tong gas berkenaan dan mangsa berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian.

"Pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa maut sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Tong gas berkenaan bocor sedikit, namun ia tetap berbahaya kerana gas berkenaan mudah meletup. Langkah pencegahan awal sudah diambil termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) yang sudah bersiap sedia untuk ke lokasi sekiranya diperlukan," katanya sebagaimana lapor Harian Metro.










Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat. 
Download