SUARA SIAPA MINTA TOLONG DI TANAH KUBUR ?



Perkara ini benar-benar berlaku pada saya dan suami. Ceritanya, setiap minggu pada hari Jumaat, menjadi rutin kami sekeluarga melawat kubur anakanda kami yang telah pulang ke rahmatullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Muhibbah Pangkalan.

Dipendekkan cerita, pada bulan lalu pada Jumaat minggu kedua, kami agak lewat ke sana. Lewat yang saya maksudkan ialah lewat kerana pada waktu itu sudah jam 11.00 pagi. Kami lewat disebabkan suami perlu mejemput anak-anak dari sekolah dan pergi sembahyang Jumaat. Jadi, kedatangan kami ke sana agak tergesa-gesa.

Sampainya kami di sana, suami saya terus bergerak ke kubur anak kami yang terletak di bawah bukit yang tidak terlalu tinggi seperti menuruni anak tangga.

Seperti biasa, suami akan memberikan salam.

"Assalamualaikum ya Ahli Kubur!" laung suami memberi salam sebanyak tiga kali.

Tiba-tiba dia berhenti dan terus menoleh ke arah saya.

"Yang, ada dengar tak apa yang abang dengar?" soalnya pada saya yang ketika itu berada 10 kaki di belakangnya.

"Dengar bang. Dengar macam suara orang mengerang kesakitan dan seperti bergaduh sambil meminta tolong. Tetapi suara itu agak samar-samar," jawab saya.

Kami terus bergegas menuju ke kubur anak kami, sebab bunyinya datang dari arah berkenaan. Namun, setibanya di kubur anak kami, suara itu pula hilang serta merta.

"Mungkin suara haiwan agaknya." saya cuba menenangkan hati suami.

Lalu kami melakukan rutin harian membersihkan kawasan kubur anak, kubur nenek dan kubur pakcik. Bila kami hampir selesai, terdengar sekali lagi suara itu dengan jelas sekali. Suara seorang lelaki meminta tolong. Tetapi apa yang menghairankannya ialah suara itu itu kali ini berada di sebelah atas. Kami pernah cuba mencari punca suara itu, manalah tahu ada orang yang berhampiran di sekitar. Tetapi tiada, hanya kami suami isteri saja yang melawat ketika itu.

Oleh kerana sudah lewat, suami terus membaca surah yasin dan alfatihah untuk semua penghuni di situ. Sehinggalah bila kami pergi ke kereta, suara misteri itu terus lenyap.

Kemudian pada Jumaat minggu terakhir Januari 2016, kali ini kami membawa anak-anak bersama-sama pergi ke tanah kubur di waktu petang sekitar jam 4 petang. Kami buat rutin biasa, bersihkan kubur dan baca ayat-ayat suci Al-Quran. Selesai rutin, kami pun berangkat pulang.

Dalam perjalanan menuju ke kereta, suami memberikan salam.

"Assalamualaikum ya ahli kubur, kami nak pulang ni," ulangnya sebanyak empat kali.

Tiba-tiba ada yang menyambut salam itu tetapi bunyi suaranya kedengaran sayup-sayup agak terkurung dalam nada yang ceria.

"Waalaikumsalam," balas suara perempuan itu.

Selepas kami pulang, kami menceritakan perkara itu kepada ipar saya yang merupakan seorang ustaz. Katanya mungkin saudara mara si mati yang tidak lagi menyampaikan sedekah (doa) kepadannya.

"Jadi kebetulan kamu berada di situ, mereka meminta tolong dari kamu," katanya.

Jadi para sahabat, yang mana ada saudara mara yang telah meninggal dunia, ingat-ingatlah pada mereka dan kirimkanlah doa. Mereka masih memerlukan kita yang masih diberikan peluang untuk hidup ini.

Seperti kebiasaan, kita yang hidup untuk membiasakan diri bila berada di tempat baru, kita mesti rajin berkenalan dengan orang dan selalu ke situ agar orang biasa dengan kita. Begitu juga bila kita ke tanah kubur.

Bila kita mendoakan orang yang mati, kita akan mendapat pahala diri pada seluruh orang yang telah mati.

Cerita ini bukan rekaan, dan dikongsikan untuk dijadikan sebagai pengajaran. Saya cuma menyampaikan apa yang berlaku pada keluarga kami ketika ke tanah kubur adalah salah satu cara Allah menyampaikan bahawa amalan semasa hidup akan dibawa selepas mati. Allahualam. - Ai Shea Lynn
Download