Selepas kalah 1-4 kepada Kelantan di Kota Bharu Sabtu lalu, barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dibawa ke kolam buaya untuk disuntik "motivasi" dan semangat perjuangan.
Kolam buaya tersebut adalah milik Penaung Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ismail.
Lawatan singkat ke kolam tersebut dibuat selepas pemain JDT melihat Tunku Mahkota Johor (TMJ) bermain Polo di Istana Pasir Pelangi semalam.
"TMJ membawa pemain dan secara berjenaka mengingatkan mereka untuk bermain dengan lebih baik di masa akan datang.
"Sifat suka berseloroh beliau sememangnya merupakan satu keperibadian beliau yang sangat disenangi rakyat Johor," menurut tulisan di Facebook JOHOR Southern Tigers.
"JDT yang keciciran mata terpaksa turun kembali ke tangga kedua Liga Super apabila kalah pada perlawanan ke-20 tersebut.
Harapan JDT adalah untuk terus menang menghadapi dua baki perlawanan dan bergantung kepada nasib malang pesaing terdekat, Pahang yang kini di tangga teratas liga.
Walaupun JDT dan Pahang berkongsi jumlah mata yang sama, skuad Tok Gajah mempunyai kelebihan jaringan gol.