Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pengamal perubatan yang bertindak mengambil gambar selfie semasa pesakit wanita dalam posisi terkangkang hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, kejadian itu masih dalam siasatan dan tindakan serta-merta akan diambil kepada pengamal perubatan itu jika dakwaan berkenaan didapati benar.
"Kita sudah kenal pasti hospital dan pegawai perubatan terbabit, tindakan tegas akan diambil selepas selesai siasatan," katanya dalam satu komen di laman sosial Facebook.
Sejak semalam, sekeping gambar yang memaparkan seorang doktor menunjukkan isyarat ‘peace’ sambil merakam gambar wanita yang ketika itu dalam posisi terkangkang menjadi viral di laman sosial sehingga mengundang kemarahan orang ramai.
Gambar itu menyebabkan orang ramai berang dan menuntut Kementerian Kesihatan mengambil tindakan segera berikutan tindakan itu memalukan pesakit berkenaan.