Laman sosial telah dibanjiri dengan kisah seekor beruk yang cedera akibat mercun yang dipercayai merupakan perbuatan manusia yang sengaja ingin menganiaya haiwan tersebut sejak hujung minggu yang lalu.
Sekeping gambar seekor beruk yang dikenali sebagai Michai dengan tangannya berdarah telah menjadi viral di laman sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Hari ini, netizen dikejutkan pula dengan berita kematian Michai yang dipercayai telah dilanggar lari.
Sebuah persatuan haiwan, Zoologi MY melaporkan insiden tersebut melalui laman Twitternya lewat malam semalam. Michai dilanggar lari Sabtu lepas dan mengalami kecederaan dalaman yang parah.
Michai kemudian dikejar ke sebuah klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan tetapi haiwan tersebut gagal untuk diselamatkan.
Oleh kerana penganiayaan dan pembunuhan hidupan liar semakin meningkat sejak kebelakangan ini, pihak zoologi menyeru pihak berkuasa untuk memantau aktiviti yang tidak bermoral itu.
Netizen juga tidak melepaskan peluang untuk menuntut keadilan bagi perbuatan kejam itu melalui hashtag #JusticeForMichai di media sosial.
Ketua Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Andrew Sebastian menyatakan "Walaupun insiden ini tidak dapat disahkan, orang ramai perlu tahu bahawa mencederakan hidupan liar adalah menyalahi undang-undang dan tindakan tidak berperikemanusiaan."
Pihak berkuasa telah meminta orang ramai yang mempunyai bukti mengenai insiden tersebut, agar tampil supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.