Ingin tahu lebih lanjut, kita baca luahan hati Shamil (bukan nama sebenar) tentang perangai isterinya Zahima (bukan nama sebenar).
“Saya berusia awal 50-an, berkahwin dengan seorang suri rumah sepenuh masa yang kini telah berusia 45 tahun dan dikurniakan tiga orang anak yang sedang remaja. Kami hidup bahagia dan saya berharap ia akan berkekalan.
“Anak sulung kami kini menuntut di sebuah universiti di Kuala Lumpur sementara dua lagi masih di sekolah menengah. Di rumah kami berempat beranak.
“Faham-faham sahajalah apabila isteri tidak kerja. Semua perkara dia yang lakukan di rumah. Memasak, mengemas dan membasuh memang 100 peratus kerja dia. Dan tentunya ada ketikanya dia bosan dan merungut.
“Saya tidak kisah jika dia merungut perkara yang betul dan relevan dengan kami sekeluarga. Ini tidak, sikapnya yang suka membebel tidak tentu hujung pangkal menjadikan saya semakin rimas.
“Siang malam, pagi petang dia membebel... ada sahaja perkara yang tidak menyenangkan hatinya. Kalau tidak tentang kerja rumah, tentang anak-anak, sikap jiran dan juga masalah kecil yang sepatutnya bukan jadi isu pun.
“Dahulu saya layan juga sebab ingatkan dia penat bekerja seharian. Lama-kelamaan saya lihat dia semakin ghairah membebel. Hinggakan saya turut menjadi mangsa. Makin hari saya semakin rimas tambahan pula usia kini meningkat.
“Dalam keadaan usia yang semakin lanjut, saya perlukan ketenangan apabila di rumah tetapi ini tidak berlaku.
Makin teruk saya lihat perangai isteri. Letak kain dan seluar di tempat yang salah pun, masalah bagi dia. Di dapur pantang nampak ada gelas, pinggan atau mangkuk atas meja, akan jadi masalah baginya.
“Pendek kata apa sahaja yang kami buat dalam rumah buat serba tidak kena. Dari A sampai Z dia akan pertikai. Naik pekak telinga saya dengan leterannya setiap hari. Saya cuma lega dan selesa apabila dapat keluar dari rumah atau dia tidur.
“Di pejabat saya merasa tenang dan gembira. Dapat berbual dengan kawan-kawan tanpa mendengar suara isteri. Balik sahaja ke rumah, wayang yang sama akan berulang.
“Keluar sahaja dari kereta, dah terdengar suara isteri, pintu pagar tutup bang.. kasut letak elok-elok... jangan sepah. Beg tu bawa masuk ke dalam, letak tempat biasa, kunci kereta sangkut..., esok tak tercari-cari.
“Belum pun duduk nak rehatkan badan sekejap, terdengar lagi arahan, naik mandi dahulu bang... baju masuk bakul. Kemudian boleh turun. Saya buatkan air, boleh minum petang, jangan sepah-sepah kat dalam bilik!
“Kalau anda di tempat saya bagaimana? Apa yang anda akan lakukan? Nak marah sudah tidak terlarat nak bertengkar. Nak biarkan, saya rasa boleh jadi gila. Bukan setahun dua, sudah hampir 20 tahun kami hidup bersama.
“Seingat saya semasa mula berkahwin, perangainya tidak begitu. Malah dia seorang isteri dan ibu yang sangat baik dan penyayang. Bagaimanapun anak-anak tidak pernah merungut dengan sikap ibu mereka.
“Ada kalanya saya tidak boleh tidur malam kerana memikirkan hal ini. Hendak ditegur tidak sampai hati, jika dibiarkan saya semakin tertekan. Sebagai suami dan lelaki, saya sangat terkilan dan sedih.
“Saya seperti diperbodohkan oleh isteri. Itu tidak kena, ini tidak kena sehinggakan kadangkala terasa malas hendak balik rumah. Saya tidak menyalahkan isteri dengan keadaan ini, mungkin faktor usia kami juga menjadi penyebab.
“Saya tahu dia penat buat kerja rumah. Masa di luar agak terbatas dan saya pula jarang ada masa untuk membawa keluarga bercuti atau jalan-jalan kecuali balik kampung.
“Saya berharap isteri saya akan berubah. Siang malam saya berdoa agar dia sedar akan perangainya itu dan berubah. Saya harap Allah buka pintu hatinya untuk berubah. Mungkin dia tidak sedar apa yang dia buat.
“Salah saya juga tidak pernah menegur silapnya sebelum ini, sekarang saya terpaksa tanggung sendiri. Tapi saya bersyukur kerana anak-anak tidak tertekan dengan sikap ibu mereka seperti mana yang saya alami. Anak-anak faham tetapi saya yang rimas.
“Semoga Allah permudahkan usaha saya ini. Jika ini ujian Allah dalam rumah tangga untuk saya, akan saya terima dengan reda. Mungkin ada sesuatu yang Allah ingin tunjukkan kepada saya.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana mempunyai seorang isteri yang baik, penyayang dan rajin serta ibu kepada anak-anak saya yang berjaya dalam pelajaran mereka. Saya sangat berterima kasih kepadanya.
“Mungkin sikap suka membebelnya itu untuk menguji kesabaran saya terutama dalam usia yang semakin meningkat ini. Saya percaya kepada aturan Allah dan berharap segala doa dan hajat saya akan dimakbulkan-Nya.’’ Shamil menamatkan luahan perasaannya.
Itulah lumrah alam rumah tangga. Tidak siapa sempurna di dunia ini. Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan. Mungkin Shamil antara suami yang dipilih untuk diuji dengan kerenah isteri.
Apa pun saya percaya, Zahima seorang wanita, isteri dan ibu yang hebat. Anggaplah sikap membebelnya sebagai satu kekurangan yang perlu diisi oleh kelebihan suami.
Sebagai suami, Shamil memainkan peranan. Betul juga mungkin dia letih asyik terperap di rumah. Cuba ajak dia bercuti dengan anak-anak. Jauhkan seketika dia dari kerja-kerja rumah. Jadikan amalan bercuti ini satu riadah keluarga setiap tahun.
Kalau ikutkan kerja sampai bila tak habis. Oleh itu saya yakin, tindakan bijak Shamil mampu mengubah keadaan. Elok juga ada isteri yang membebel, rumah kemas, suami ikut arahan dan tentunya rumah tangga cantik dan selesa.
Yang rimasnya kerana suami tidak boleh terima kekurangan isteri, walaupun isteri telah menunjukkan prestasi yang hebat dalam rumah tangga. Kan elok berbaik sangka dan berlapang dada, ia juga sebahagian dari jalan ke syurga!
Ingatlah kita tidak sempurna. Itu sebabnya dalam rumah tangga perlu ada perkongsian, saling lengkap melengkapi dan membaiki kekurangan serta kelemahan diri.
Menutup kata pesanan saya, jika pun tidak berubah sepenuhnya, bersyukurlah! walau sedikit ia tetap membuahkan hasil dan menampakkan kesungguhan untuk menjadi yang lebih baik dari sehari ke sehari.
Salam.