Share/Info Isu Brotherhood baiki jalan KL - kenyataan Ku Nan, Datuk Bandar





Encik Azlan Sani Nawawi (Lando) bersama-sama kumpulan Brotherhood bertindak menampal sendiri lubang pada jalan kerana sudah bosan setelah tiada tindakan pembaikan jalan dilakukan oleh DBKL.

(Kredit gambar: Lando)



Salam sejahtera,



Jalan rosak dan berlubang sememangnya satu masalah yang amat menyakitkan hati setiap pengguna jalan raya. Apa tidaknya, jalan yang berlubang sering menyebabkan rim bengkok, tayar pecah dan sistem suspensi rosak. Dalam kes yang lebih ekstrim, jalan yang berlubang di sana-sini boleh mengakibatkan kemalangan maut, khususnya di kalangan penunggang motosikal. Ironinya, kerosakan jalan raya banyak berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur - suatu hakikat yang sangat memalukan lagi mengaibkan - memandangkan status Kuala Lumpur sebagai bandar raya global. Lebih menyakitkan hati, badan yang sepatutnya diamanahkan untuk menyelenggara jalan-jalan raya di Kuala Lumpur iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan, dibuktikan melalui sebegitu banyak jalan yang berlubang serta tiada tindakan mahupun maklum balas mengenai aduan yang dikemukakan. Bosan akan sikap tidak bertanggungjawab DBKL, sebuah kelab motosikal berkuasa tinggi iaitu Ikatan Silaturrahim Brotherhood (lebih dikenali sebagai Brotherhood) bertindak menampal sendiri jalan-jalan yang berlubang di ibu kota. Namun, niat murni mereka yang berbuat secara sukarela itu diselar pula oleh DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan. Inilah yang dikatakan sebagai "susu dibalas tuba" - apa kejadahnya semua ini...?



Sebagai penulis bagi Blog Jalan Raya Malaysia yang menjadi antara sumber rujukan utama mengenai jalan raya Malaysia, saya sudah tentunya berasa amat marah dan amat kesal akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (aka Ku Nan), serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib. Dalam satu kenyataan, Ku Nan menuduh kononnya Brotherhood sengaja "mencari glamour" sambil menimbulkan persepsi bahawa DBKL "tidak membuat kerja" atau makan gaji buta. Datuk Seri Tengku Adnan, jika benar DBKL buat kerja, kenapa pula Datuk Seri mahu melenting dan cepat sentap...? Adakah disebabkan dakwaan oleh Brotherhood itu memang benar...?



Sementara itu pula, Datuk Seri Ahmad Phesal pula mendakwa kononnya tindakan Brotherhood menampal lubang tersebut sebagai "mencabar undang-undang" serta merupakan satu "kesalahan" di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Habis tu, kecuaian dan kegagalan DBKL dalam menunaikan tanggungjawab menyelenggara jalan raya sehingga ada kalanya mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa itu pula bukan satu kesalahan, begitukah...? Apakah DBKL mahu menjadikan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 sebagai "lesen besar" bagi menghalalkan tindakan mereka mengabaikan laporan kerosakan jalan raya...? Selain itu, Datuk Seri Ahmad Phesal juga mendakwa kononnya kerja-kerja tampalan yang dilakukan oleh Brotherhood "tidak mengikuti spesifikasi dan piawaian". Jika benar mereka tidak mengikut piawaian, maka sudah tentulah DBKL sendiri pun sama juga gagal mengikuti spesifikasi dan piawaian, kerana Brotherhood sebenarnya memang menggunakan khidmat serta tunjuk ajar oleh kontraktor jalan raya yang memang dilantik oleh DBKL sendiri...!!! Kepada Datuk Seri Ahmad Phesal, adakah DBKL benar-benar mengikuti piawaian yang ditetapkan dalam Arahan Teknik (Jalan) 5/85: Manual On Pavement Design...? Jika benar DBKL mendakwa mereka mematuhi piawaian, kenapa jalan raya KL asyik berlubang berulang kali di tempat yang sama...? Mahu salahkan kenderaan berat...? Mana perginya penguatkuasaan larangan kenderaan berat memasuki Kuala Lumpur...? DBKL tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang memper*****kan rakyat, kerana rakyat sekarang sudah jauh lebih bijak dan lebih pandai menilai - Arahan-arahan Teknik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) boleh dibeli oleh sesiapa sahaja di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya sebagai rujukan. DBKL sepatutnya menerima hakikat bahawa zaman untuk mereka mendabik dada sebagai "serba tahu" sudah lama berakhir.



Serius saya katakan, saya amat kesal akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ku Nan dan Datuk Seri Ahmad Phesal kerana kenyataan mereka itu merupakan kenyataan ***** sombong. Maaflah, saya tahu memang bahasa saya begitu kasar kali ini, tetapi saya berasa amat marah dan amat kesal akan sikap ego mereka yang enggan menerima teguran. Tidakkah mereka sedar bahawa tindakan Brotherhood menampal sendiri lubang di jalan-jalan raya Kuala Lumpur sebenarnya menunjukkan bahawa mereka semakin hilang kepercayaan terhadap DBKL...? Tahukah mereka bahawa Brotherhood kehilangan tiga orang anggota akibat kemalangan yang berpunca daripada kegagalan DBKL menampal jalan berlubang...? Sedarkah DBKL bahawa kenyataan mereka itu hanya memburukkan lagi keadaan serta mengeruhkan lagi hubungan antara Brotherhood dengan DBKL..? Tidak bolehkah mereka merendah diri serta mengakui sahaja kelemahan mereka dalam pengurusan dan penyelenggaraan jalan raya di ibu kota...?



Antara alasan yang diberikan oleh DBKL dalam isu jalan raya dibiarkan berlubang tanpa ditampal termasuklah terdapat kerja-kerja pembaikan serta naik taraf utiliti seperti kabel elektrik, paip air dan paip pembentung. Kalau benar ada kerja-kerja sebegitu, kenapa dibiarkan sahaja kerja-kerja itu dilakukan secara cincai...? Mana perginya papan tanda amaran...? Mana perginya kon amaran...? Kenapa DBKL tidak berkeras mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat utiliti yang membuat kerja secara cincai dan membahayakan pengguna jalan raya khususnya motosikal...? Mahu tunggu berapa ramai lagi yang mati baru mahu bertindak...?



Cuba lihat JKR. Kalau diikutkan, mereka perlu menyelenggara rangkaian jalan persekutuan dan negeri yang jauh lebih panjang daripada rangkaian jalan raya DBKL. Namun, atas sebab apa pengurusan jalan raya oleh JKR jauh lebih baik berbanding JKR...? Pertama, rata-rata jalan raya kendalian JKR mempunyai kod laluan. Selain itu, jalan-jalan raya JKR juga dilengkapi batu penanda kilometer. Tidak cukup lagi, ada sesetengah pejabat JKR daerah yang turut memasang penanda kilometer setiap 100 m seperti di lebuh raya ekspres. Kedua-dua maklumat tersebut amat membantu JKR bagi mengenal pasti lokasi sebenar kerosakan jalan. Malah, baru-baru ini JKR sedang membangunkan satu aplikasi telefon pintar bagi memudahkan pengguna jalan raya menyalurkan aduan dengan hanya memuat naik gambar kerosakan jalan serta menandakan lokasi jalan rosak pada GPS. Inisiatif sebeginilah yang kita mahukan. Namun, jika dibandingkan dengan DBKL, pengurusan jalan raya oleh DBKL sendiri sangat teruk. Tiada kod laluan dipamerkan pada mana-mana papan tanda DBKL. Penanda kilometer pun tak ada. Maka, pekerja DBKL terpaksa mencari kerosakan yang dimaksudkan itu pada keseluruhan jalan yang dilaporkan itu dan bukannya dalam lingkungan 200 m atau 2 km seperti pada jalan-jalan raya kendalian JKR. Patutlah aduan kerosakan jalan raya DBKL lambat menerima maklum balas...!!! Saya difahamkan semasa zaman Datuk Elyas Omar menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur pada tahun 1980an, beliau telah menubuhkan pasukan pencari lubang untuk menjejaki setiap lubang yang ada pada jalan raya Kuala Lumpur dan seterusnya menampal lubang tersebut. Sekarang...? Mana perginya pasukan pencari lubang semasa zaman Datuk Elyas Omar dulu, kenapa pasukan sebegitu sudah tiada lagi...?



Selain kelemahan pengurusan jalan raya, kelemahan komunikasi serta kerenah birokrasi turut menyumbang kepada kelemahan pengurusan jalan raya DBKL. Ia terbukti apabila terdapat sebegitu banyak lurang (manhole) yang kedudukannya tidak tetap - sekejap di tepi jalan dan sekejap di tengah jalan. Kebanyakan lurang yang ada pula berlubang dan mendap, sekaligus menjadi ancaman utama kepada pengguna jalan raya. Maka, jika ada penunggang motosikal yang terlanggar lurang tersebut, maka penunggang motosikal akan hilang kawalan dan seterusnya mengakibatkan kemalangan. Seterusnya, DBKL mendakwa bahawa antara punca jalan berlubang adalah disebabkan kerja-kerja penampalan oleh syarikat-syarikat utiliti dan telekomunikasi (TM, TNB, Syabas, Indah Water etc) yang dilakukan secara cincai sahaja. Kalau begitu kenapa tidak ambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat utiliti tersebut...? Kalau kena pada rakyat marhaen, laju sahaja DBKL hendak mengeluarkan surat saman. Apakah syarikat-syarikat tersebut kebal daripada undang-undang sehinggakan DBKL nak saman pun takut-takut...? Apa kejadahnya semua ini...?



Itu baru masalah yang berpunca daripada kelemahan komunikasi. Kerenah birokrasi pula bagaimana...? Dakwaan DBKL yang mengatakan kononnya Brotherhood perlu ikuti spesifikasi dan piawaian itu juga satu bentuk bentuk kerenah birokrasi. Malah, DBKL dengan angkuhnya menolak sebarang kerjasama dengan pihak persendirian yang mahu menurap semula jalan-jalan di KL, kononnya kena ikut "spesifikasi DBKL". Habis tu adakah mereka sendiri mematuhi spesifikasi yang dikatakan itu...? Kalau itu pun nak kena tunggu "ikut spesifikasi DBKL", maka sudah tentulah sebegitu banyak lubang baharu akan timbul setelah memperbaiki hanya satu lubang sahaja.



Menurut jurucakap Brotherhood, Encik Azlan Sani Nawawi atau lebih dikenali sebagai Lando, beliau mendakwa bahawa kos yang dilaburkan oleh mereka untuk menampal lubang hanyalah sekitar RM2,000 sahaja, tetapi kos yang dilaburkan oleh DBKL untuk menampal lubang yang sama pula sudah mencecah RM18,000. Maka, sesiapa sahaja yang berakal sudah tentu akan mengatakan bahawa terdapat kemungkinan berlakunya ketirisan akibat kerenah birokrasi yang keterlaluan.



Kepada DBKL dan Ku Nan, sudah-sudahlah berlagak sombong. Tidak cukup lagikah buat hal sepanjang tahun 2014 dengan pelbagai isu kontroversi termasuklah isu tukar nama jalan secara mengejut sebelum ini...? Sepatutnya Ku Nan, Datuk Seri Ahmad Phesal serta DBKL berasa malu apabila terdapat individu atau kumpulan yang terpaksa menampal jalan raya sendiri, kerana ia menunjukkan bahawa pengguna jalan raya semakin hilang kepercayaan terhadap DBKL dalam menguruskan dan menyelenggara jalan raya di Kuala Lumpur. Serius saya katakan, saya sendiri pun sudah hilang kepercayaan terhadap DBKL dalam menguruskan dan menyelenggara jalan-jalan raya utama di Kuala Lumpur. Apabila hal sebegini sudah terjadi, maka DBKL sepatutnya meminta maaf kepada pengguna jalan raya dan bukannya mempertahankan keculasan mereka serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Brotherhood. Sebaliknya, mangsa kemalangan serta kerosakan kenderaanlah yang sepatutnya mengambil tindakan saman terhadap DBKL atas kecuaian mereka. Namun, adakah DBKL akan membayar walau sesen pun ganti rugi kepada mangsa kemalangan atau kerosakan kenderaan akibat jalan berlubang yang dibiarkan tidak bertampal...? Saya sendiri pun pernah dua kali menjadi mangsa keculasan dan kecuaian DBKL apabila terlanggar lubang yang besar semasa menunggang motosikal sehingga menyebabkan tayar pecah dan rim bengkok, dengan kerugian lebih kurang RM700 bagi kedua-dua insiden - tetapi adakah DBKL mahu bertanggungjawab membayar balik ganti rugi tersebut...? Jangan haraplah mereka akan bayar...!!!



Kepada DBKL, jika sudah tidak lagi berupaya untuk menguruskan penyelenggaraan jalan raya utama di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan cekap, maka ada baiknya jika DBKL melepaskan sahaja tanggungjawab penyelenggaraan jalan-jalan arteri utama di ibu kota dan seterusnya menyerahkan hak penyelenggaraan jalan raya tersebut kepada Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kerana saya lebih meyakini hasil kerja JKR berbanding DBKL. Memang benar masih ada jalan JKR yang berlubang, tetapi sekurang-kurangnya JKR memberi maklum balas yang lebih pantas bagi aduan kerosakan jalan, termasuklah aduan melalui Facebook dan Twitter. Paling penting, JKR lebih berhemah, lebih merendah diri dan lebih berbudi bahasa ketika melayani setiap aduan kerosakan jalan raya dan bukannya berlagak sombong seperti isu kontroversi kali ini. Sekurang-kurangnya hati yang panas akibat jalan yang berlubang pun akan menjadi sejuk hasil budi bahasa warga JKR semasa melayani aduan jalan raya.



Akhir kata, Blog Jalan Raya Malaysia menyokong penuh segala usaha yang dilakukan oleh Brotherhood demi keselamatan semua pengguna jalan raya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi kalian.



Sumber


Download