Santai Daging kambing panggang





1. BAHAN perapan lada hitam, jintan putih, jintan manis, garam dan gula.





2. KISAR semua bahan perapan tadi sehingga halus dan berair.





3. LUMUR bahan perapan pada daging kambing dan biarkan selama sejam.





4. PANASKAN pemanggang dengan api sederhana, kemudian letakkan daging yang sudah diperap.





5. BIARKAN daging masak sehingga menghasilkan warna kekuning-kuningan.





Ramai dalam kalangan kita menolak sajian daging kambing yang dikatakan sebagai penyebab masalah kolesterol, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.



Namun pada masa kini daging kambing merangkumi 63 peratus jenis daging yang dimakan di seluruh dunia dan menjadi sumber protein utama di banyak negara Arab dan Afrika Utara, rantau Asia Tenggara dan kepulauan Caribbean.



Di Barat pula, daging kambing semakin mendapat publisiti sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding lembu, malah terdapat kajian yang menyatakan ia lebih sesuai dimakan oleh penghidap masalah jantung.



Sama seperti lembu, daging kambing boleh dipelbagaikan dalam masakan. Kari dan beriani kambing antara yang popular dan menjadi sajian utama ketika kenduri-kendara.



Menurut Chef Zakaria Abd Latip dari Endau Caterers, kambing panggang bersama sos lada hitam juga antara menu yang boleh disediakan sendiri di rumah. Apa yang penting adalah bahan perapan seperti lada hitam, jintan putih, jintan manis dan bahan perisa yang memberikan rasa enak kepada daging.



"Selepas bahan dikisar ia perlu diperap sekurang-kurangnya satu jam supaya bahan perapan sebati dengan daging. Selepas itu panggang menggunakan alat pemanggang sehingga daging benar-benar masak. Untuk lebih istimewa hidangkan bersama mayonis, sayur-sayuran dan sos cendawan," katanya.



Daging kambing jika kena cara menyediakannya tidak akan berbau. Malah rasa yang terhasil daripada bahan perapan akan memberikan keenakan terutama dimakan bersama sos. Selain menyediakan hidangan katering untuk pelbagai majlis, Endau Caterers turut menjual daging kambing sejuk beku yang siap diperap bersama sos cendawan kepada pelanggan.



"Apa yang perlu dilakukan hanya panggang daging sehingga masak kemudian makan bersama sos disediakan. Daging ini juga boleh disimpan lama di dalam bahagian sejuk beku," katanya yang gemar menggunakan kambing kerana daging ini mengandungi paras kolesterol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia alternatif daging merah terbaik.





- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14997#....pI6UHOZe.dpuf


Download