Selama lapan jam sehari, lima hari seminggu, Paul 'Golden Man' Edmeades terpaksa menahan sakit, menjaga maruah dan kadangkala menahan sabar apabila ditumbuk-semuanya kerana kerjayanya.
Dia pernah diludah, diejek, ditolak, dihidu oleh anjing yang melalui kawasan itu dan kadangkala menjadi tempat tenggek burung merpati.
"Ia sebahagian daripada masalah yang saya hadapi ketika bekerja. Tetapi saya tidak kisah kerana ia menjadi bukti bahawa saya berjaya melakukan kerja saya," katanya.
Paul juga pernah dilontar dengan sabun pada mukanya dan dipukul beberapa kali.
Kerana kerjayanya itu dia mengalami masalah kesihatan, khususnya berkait dengan mata.
Dia ialah antara 'patung hidup'-orang yang kelihatan ganjil dengan pakaian dan muka berwarna perada atau emas, berdiri atau duduk di tempat awam seperti tanpa bergerak dan jarang mengelipkan mata.
Paul menjadi patung hidup secara sampingan selama 16 tahun sebelum menceburkan diri sepenuh masa sejak dua tahun lalu.
Dia adalah antara beberapa ribu orang di United Kingdom yang mencari rezeki begitu.
Mereka menghabiskan sekurang-kurangnya lima jam seminggu untuk bermekap dan membasuh mekap berminyak itu serta kira-kira 50 jam lagi untuk menjadi patung, tidak kira cuaca.
"Perkara paling kami benci ialah dicucuk. Jika yang melakukannya kanak-kanak, tidak mengapa. Ini orang tua pun buat juga.
"Lebih buruk lagi, ada yang menolak dan menampar anda dan kemudian mereka ketawa," kata Paul, 41.
Kebanyakan masa Paul dan rakannya akan mendiamkan diri, terima saja gangguan itu dan tidak melawan.
"Berdiri atau duduk seperti patung adalah amat sukar. Masa terbaik saya ialah sejam setengah," katanya.
Untuk menjadi patung hidup profesional memerlukan fokus, dedikasi, latihan selama beribu-ribu jam dan yang penting kesihatan.
Dan yang menjadi cabaran utama ialah cuaca.
"Anda memerlukan disiplin yang tinggi. Ada kumpulan amatur yang datang dan melakukannya. Tetapi mereka gagal kerana tidak memberi tumpuan, senyum dan ketawa apabila direnung pengunjung. Orang ramai berminat untuk tahu bahawa yang mereka renung itu patung.
"Saya bukan nak bercakap besar tetapi memang hakikatnya saya sudah menjadi patung hidup profesional," kata Paul.
Paul yang pernah menjadi tukang perabot, tukang masak dan pekerja kawal serangga berkata, dia mendapati pendapatannya lebih lumayan dengan menjadi patung hidup walaupun ia lebih memenatkan.
"Jika cuacanya baik, saya tidak akan hadapi masalah," katanya.
Rakannya, Matt Walters pula berkata, dia pernah diludah ketika menjadi patung hidup di Covent Garden.
"Ada pengunjung yang meludah saya. Bukan orang mabuk saja. Saya juga pernah ditolak. Ada yang menyeluk saku saya untuk mengambil wang di dalamnya. Mereka cuba melihat tahap kesabaran kami agaknya.
"Tetapi ia seperti menunggang kuda. Anda perlu naik semula setiap kali jatuh," katanya.
Paul berkata, nasib dia lebih buruk.
"Pernah ada orang menyimbah sabun pencuci baju ke muka saya ketika di Covent Garden. Mereka ialah pendatang Romania yang marah dengan kemunculan saya di situ. Mereka dibiayai kumpulan samseng.
"Kemudian, pernah di Trafalgar Square mereka menyerkup kepala saya dengan beg plastik dan mengheret saya ke tepi dan menendang saya. Mujur saya diselamatkan beberapa rakan," katanya.
Ia berlaku kerana berebut tempat.
Kini, semua patung hidup di South Bank dan di Covent Garden perlu mendapatkan lesen dan mengambil insurans.
Tempat persembahan mereka ditentukan dengan undi yang dilakukan setiap pagi Selasa. Bagaimanapun, di Trafalgar Square, ia bebas. Tetapi di situ, tidak ada patung hidup rakyat Britain.
"Semuanya gipsi dari Romania dan mereka dikendali dan dinaungi oleh kumpulan samseng yang memungut 70 peratus daripada hasil yang diterima oleh patung hidup itu.
"Lebih buruk lagi, mereka tidak berguna. Mereka memalukan patung hidup. Mereka tidak boleh berdiri atau duduk diam. Dan mereka juga hanya memakai topeng, bukan mekap," kata Walters.
Paul berkata, patung hidup kini sudah wujud di Emiriah Arab Bersatu dan pendapatan yang mereka raih lebih lumayan.
"Masalahnya cuaca yang teramat panas," katanya.
Persamaan ketara dalam kalangan patung hidup warga Britain ini ialah mereka tidak akan mendedahkan jumlah pendapatan yang mereka peroleh.
Apabila ditanya mengenainya, Paul berkata: "Wang? Kami tidak akan mendedahkannya. Ia antara kami dengan pihak berkuasa yang memungut cukai."
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/16353#....y3HeJzuH.dpuf