Lama sebelum ditenggelami air, dasar Tasik Kenyir yang suatu ketika dahulu subur dan permai pernah menjadi sebahagian daripada kawasan penempatan penduduk terawal di Hulu Terengganu.
Walaupun tidak lagi menjadi sebutan, nama-nama kampung seperti Melor, Keliok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan Belimbing pasti akan kedengaran apabila ada yang menjejak sejarah empangan hidroelektrik itu.
Namun kini cerita masyarakat yang dahulu berkampung jauh di hulu Sungai Terengganu itu bukan sesuatu yang diketahui umum. Kebanyakan kisah-kisah lisan yang turun dari generasi ke generasi itu semakin dilupakan.
Bertempat di Kampung Dura, Kuala Berang nama Abbas Othman cukup dikenali sebagai bekas penduduk yang pernah mendiami perkampungan di dasar Tasik Kenyir sebelum ditenggelami air pada 1984.
Pada usia 77 tahun, Abbas boleh dikatakan antara generasi terakhir ‘penghuni dasar tasik’ yang sanggup berkongsi kisah hidup di kampung asalnya iaitu Kampung Kuala Terenggan.
Ketika berkongsi memori zaman kanak-kanaknya, Abbas mengakui kehidupan kampung kira-kira 60 tahun lalu itu jauh berbeza dengan kehidupan sekarang.
Katanya, kehidupan di kampung itu boleh diibaratkan berada di dalam dunia yang tersendiri.
Abbas berkata, kedudukan kampung yang terpisah jauh dengan penempatan lain menyebabkan penduduk bergantung penuh pada sumber alam sehinggakan wang ringgit tidak mempunyai sebarang nilai.
“Semasa kecil saya tak pernah tengok duit kerana orang kampung tak guna duit untuk beli barang.
“Nak beras tanam padi, nak ikan ambil di sungai,” katanya.
Menurut Abbas, wang hanya akan dikeluarkan dari guri (sejenis tempayan kecil) beberapa kali setahun ketika ada penduduk mahu mudik ke Kuala Terengganu untuk membeli garam dan pakaian.
Tambahnya, perjalanan menaiki rakit buluh ke Kuala Terengganu kira-kira 50 kilometer dari kampungnya ketika itu memakan masa empat hingga lima hari.
“Perjalanan menggunakan rakit buluh sangat mencabar kerana penduduk terpaksa mengharungi sungai yang berarus deras dan berbatu.
“Biasanya satu rakit memuatkan tiga hingga empat orang. Mereka akan kayuh secara bergilir-gilir. Ada masanya rakit pecah dipukul arus,” ujarnya.
Menurut Abbas, kehidupan di tengah belantara yang dilalui oleh penduduk di situ mula mendapat perhatian kerajaan sekitar 1950-an sehingga menyarankan penduduk supaya berpindah.
Katanya, kerajaan menjanjikan pampasan tanah seluas empat hektar kepada yang berpindah ke Kuala Berang.
Perpindahan pertama bermula pada 1950 selepas penduduk merasakan kehidupan di dalam hutan itu diselubungi kemiskinan.
“Mereka pindah secara berperingkat kerana ada yang tidak mahu berpindah sebab sayangkan tanah kebun dan sawah yang luas,” ujarnya.
Menurut Abbas, beliau dan keluarganya berpindah sebanyak tiga kali iaitu dari Kampung Kuala Terenggan ke Kampung Petang dan ke Kampung Berching sebelum menetap sepenuhnya di Kampung Dura sejak 1959.
Tambah beliau, tempoh perpindahan penduduk dari ‘dasar’ Tasik Kenyir itu dilakukan kira-kira 20 tahun sebelum pembinaan empangan Stesen Hidro Elektrik Sultan Mahmud di Kampung Jenagor, Kuala Berang.
“Seingat saya, ada lebih kurang 80 keluarga yang terlibat dalam perpindahan peringkat pertama,” katanya.
Selain penduduk dari Kampung Petang dan Berching, Kampung Dura kini turut dikongsi penduduk dari Kampung Kelitok dan Berching.
Pada masa sekarang, bekas kampung yang bertukar menjadi tasik itu masih boleh dilihat berpandukan beberapa batang sungai yang masih mengekalkan nama asalnya, kisah dipetik dari Utusan Malaysia.