Mencapai umur persaraan, namun masih menanggung pelbagai hutang dan pinjaman adalah satu mimpi ngeri bagi setiap insan di dunia ini. Duit KWSP yang diterima setelah ditolak dengan pinjaman perumahan, kereta dan bayaran hutang kad kredit menunjukkan nilai defisit. Duit simpanan pula tidak mencukupi untuk menanggung kos perbelanjaan harian keluarga seperti membayar petrol, bil utiliti, pakaian dan makanan. Ini senario yang biasa dalam masyarakat di negara kita. Tentu anda akan terfikir, di saat itu, dan dengan usia yang sudah mencapai 55 tahun, apa lagi yang mampu mereka lakukan?
Senario di atas disokong oleh satu kaji selidik yang telah dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2010. Kaji selidik ini khusus untuk mengkaji tahap celik wang rakyat Malaysia. Didapati purata responden yang bakal menghampiri umur persaraan, mempunyai tahap celik wang yang sangat rendah. Kaji selidik ini juga mendapati rakyat Malaysia dalam golongan persaraan ini juga kurang mahir menguruskan kewangan mereka jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia daripada kumpulan umur yang lain. Agak menakutkan, bukan? Tentu tiada masalah, jika anda seorang pesara kerajaan yang bakal menikmati wang pencen setiap bulan. Namun, jika anda seorang pesara swasta, dan tidak memiliki kemahiran menguruskan kewangan, wang KWSP yang diperoleh mungkin tidak akan kekal untuk kegunaan jangka masa yang lama.
Statistik jangka hayat rakyat Malaysia juga menunjukkan purata hayat bagi warga lelaki adalah pada usia 75 tahun dan bagi wanita pula adalah pada usia 80 tahun. Ini bermakna, jika anda seorang pesara swasta yang memilih untuk pencen pada usia 55 tahun, maka masih ada baki 20 tahun lagi tempoh survival untuk hidup tanpa gaji bulanan dan hanya berbekalkan wang KWSP tadi sahaja. Bagi wanita pula, mereka berkemungkinan akan hidup 25 tahun lagi selepas tempoh persaraan. Mampu kah mereka hidup dan melalui tempoh 20-25 tahun ini dengan hanya berbekalkan wang KWSP sahaja?
Untuk mengatasi masalah kekurangan simpanan selepas persaraan, beberapa persoalan perlu dijawab untuk mengagak kedudukan kewangan anda sekarang. Pertama sekali kira berapa jumlah simpanan dan aset yang anda miliki, termasuk wang simpanan peribadi, wang di dalam akaun KWSP, pelaburan Unit Trust, pelaburan emas, jumlah wang yang diterima daripada polisi insurans yang telah matang, juga aset rumah dan kenderaan. Kedua, kira berapakah baki pinjaman yang anda ada, seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta atau pinjaman peribadi. Ketiga, tentukan jumlah simpanan daripada pendapatan bulanan anda. Semakin meningkat usia anda, sepatutnya semakin banyak wang yang disimpan setiap bulan. Setiap kali kenaikan gaji, masukkan sebahagian daripadanya ke dalam simpanan persaraan. Keempat, kira baki tahun yang anda anda sebelum anda mencapai umur persaraan. Adakah anda akan hidup selesa menjelang usia persaraan anda? Atau mungkin kah segala hutang piutang itu akan kekal sehingga anda bersara kelak?
Apabila semua yang di atas tadi telah terjawab, maka anda akan dapat mengenal pasti tahap kewangan anda. Jika simpanan anda kurang, maka mulalah menabung untuk persaraan. Kerajaan Malaysia juga amat komited dalam membantu rakyat negara ini melalui tempoh persaraan mereka. Baru-baru ini, Skim Persaraan Swasta (PRS) telah diperkenalkan sebagai salah satu alternatif untuk menambah baik taraf kehidupan warga Malaysia khususnya bagi mereka yang bekerja swasta selepas persaraan mereka nanti.
Skim persaraan swasta (PRS) yang mula ditawarkan kepada orang ramai pada penghujung tahun 2012 adalah merupakan satu skim pelaburan yang dibuat secara sukarela oleh pencarum nya. Skim ini bertujuan membantu rakyat Malaysia yang bekerja swasta untuk membuat simpanan bagi persaraan mereka. Jangan pula keliru, PRS adalah berbeza dengan caruman mandatori yang dibuat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Objektif utama tabungan PRS adalah untuk memastikan setiap pencarum nya mempunyai simpanan dan aset kewangan yang mencukupi untuk kegunaan menjelang persaraan nanti. Idea mengenai PRS ini adalah hasil daripada cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kepada Kerajaan Malaysia.