Kompleks PKNS kian hilang identiti?






Quote:








FIZIKALNYA mungkin tidak gah seperti SACC Mall, Empire Gallery, Subang Parade dan banyak lagi pusat beli-belah yang terletak berhampirannya.



Meskipun yang lain lebih jauh moden, Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Se*langor (PKNS) Shah Alam yang dibina lebih 30 tahun lalu tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.



Itulah satu-satunya kompleks niaga di Bandar Raya Anggerik yang memiliki entiti tradisional iaitu peniaga dan pengunjungnya majoriti terdiri daripada orang Melayu.



Sememangnya itulah matlamat penu*buhan PKNS, iaitu membantu perkembangan ekonomi bumiputera.



Sebut apa sahaja produk, hampir ke*semuanya boleh didapati di Kompleks PKNS yang dijual oleh peniaga Melayu. Lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri, ramai pengunjung sejauh dari Singapura tertumpu di situ bagi mencari ba*rangan keperluan seperti pakaian, songkok, baju kurung dan kuih raya.



Tidak keterlaluan jika dikatakan Kompleks PKNS adalah sama ‘par’ atau pesaing utama kepada kawasan niaga yang cukup dikenali di ibu negara, iaitu Jalan Masjid India.



Berbeza dengan Jalan Masjid India yang sering mengalami kesesakan lalu lintas dan terdedah kepada hujan dan terik matahari, Kompleks PKNS menyediakan suasana lebih selesa serta nyaman kepada pengunjungnya.



Bagaimanapun, identiti Kompleks PKNS seolah-olah mahu ditukar kepada entiti baharu.



Selepas pengurusan kompleks berkenaan diambil-alih oleh anak syarikat PKNS, Private Real Estate Company (PREC) pada awal tahun ini, peniaga bukan Melayu dan warga asing mula menduduki ruang niaga di situ.



Kalau dahulu banyak ruang dibiarkan kosong bagi membolehkan peniaga kecil Melayu menyewa pada waktu-waktu tertentu se*perti bulan Ramadan, kini tapak-tapak terbabit menjadi lot-lot kedai milik peniaga bukan Melayu serta warga asing.



Menurut Yang Dipertua Persatuan Peniaga-peniaga Kompleks PKNS Shah Alam, Amran Yahya, pihaknya tidak menghalang sesiapa pun berniaga di situ sebagai persaingan sihat tetapi sepatutnya peniaga Melayu diberikan keutamaan.



Selain itu, jelasnya, kewujudan restoran-restoran yang mana taukehnya adalah bangsa asing juga boleh dipersoalkan dari segi halal haram kerana ada premis terbabit tiada tanda pengesahan daripada badan berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).



Perkara sedemikian tambahnya, amat sensitif kerana melibatkan pengunjung ke situ yang majoriti beragama Islam.



Senario terbaharu itu ternyata meresahkan lebih 200 peniaga Melayu terutama yang sudah bertapak berpuluh tahun di situ.



“Apabila peniaga asing yang modal kewangannya lebih kukuh semakin banyak, dikhuatiri peniaga Melayu sedia ada tidak mampu bersaing kerana kemungkinan kadar sewa dinaikkan berlipat kali ganda.



“Kalau perkara sebegini tidak dibendung, kompleks ini bakal berubah kepada entiti baharu, sama seperti pusat beli-belah lain yang penghuninya dimonopoli peniaga bukan bumiputera," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.



Kebimbangan mereka itu ada asasnya kerana jelas Amran, beberapa peniaga sudah mula dikenakan kadar sewa berganda.



Apatah lagi peniaga-peniaga di situ akan menandatangani perjanjian penyewaan baharu berkuat kuasa 1 Jun ini.



Notis mengenai pembaharuan penyewaan sudah pun diterima mereka daripada PREC pada awal April lalu.



“Antara syarat-syarat perlu dipatuhi sebelum dapat memperbaharui perjanjian adalah kami dikehendaki membuat pengubahsuaian di lot masing-masing," ujar Amran.



Katanya, beban kenaikan kadar sewa mungkin masih boleh digagahi mereka namun apa yang perlu dipertahankan oleh PREC adalah memastikan entiti tradisonal dikekalkan iaitu peniaga dan pengunjung terdiri daripada orang Melayu.



Pada masa sama, menurut Amran, kenaikan itu biarlah setimpal dengan kemudahan-kemudahan asas yang disediakan.



“Kemudahan asas ini sebenarnya disediakan untuk keselesaan para pengunjung.



“Sebagai contoh sekarang pendingin hawa hanya berfungsi mengikut waktu pejabat. Selepas itu keadaan di ruang legar yang dihuni peniaga-peniaga kecil mula menjadi tidak selesa.



“Keadaan tidak nyaman sebegini mungkin membantutkan keinginan pengunjung untuk datang lagi ke Kompleks PKNS," katanya.



Selain itu, tambah beliau, hasil yang diperolehi PREC perlu digunakan semula untuk memanfaatkan kompleks bukannya disalurkan ke tempat lain seperti pernah dilakukan pengurusan sebelum ini.



Sememangnya para peniaga di Kompleks PKNS mahukan pembaharuan seiring perkembangan semasa tetapi periuk nasi golongan bumiputera itu juga perlu diambil kira.



Apa yang penting, sesiapa sahaja yang diberikan tanggungjawab untuk mengurus Kompleks PKNS perlu ada semangat dan iltizam untuk memajukan orang Melayu.



SOS : U


Download