MH370:Ahmad Seth Zaharie. 'Saya lebih kenal ayah saya'


Subang Jaya: Saya lebih kenal ayah saya, kata anak bongsu Kapten Zaharie Ahmad Shah, Ahmad Seth Zaharie. 

Justeru, Ahmad Seth tidak mengendahkan sebarang spekulasi negatif yang mengaitkan bapanya dengan kehilangan pesawat MH370, sejak 8 Mac lalu. 


Pemuda berusia 26 tahun itu kelihatan terkejut dengan kehadiran pemberita di rumahnya di sini, semalam dan hanya bercakap tidak sampai lima minit di depan pintu rumahnya. 


Ketika pemberita tiba di rumah beliau, beberapa rakannya baru saja tiba dan Ahmad Seth keluar selepas mereka memanggilnya dan memaklumkan ada orang mahu berjumpa.

Ahmad Seth berkata, dia membaca semua laporan, termasuk spekulasi dan teori yang tersebar luas di laman sosial, termasuk tuduhan bapanya merampas pesawat.

Namun, apa yang saya baca langsung tidak meninggalkan kesan di hati dan saya tidak mempedulikan spekulasi itu kerana sebagai anak, saya lebih mengenali beliau berbanding orang lain.
Walaupun saya tidak begitu rapat dengannya kerana ayah terlalu sibuk bertugas, kami memahami antara satu sama lain, katanya.
Tinggalkan kediaman

Pencarian keluarga Zaharie sejak kehilangan MH370 hampir menemui jalan buntu selepas isterinya, Faizah Khanum Mustafa Khan dan anaknya dikatakan keluar dari kediaman mereka di Seksyen 13, di sini sejurus pesawat dilaporkan hilang.

Ahmad Seth, pelajar kursus bahasa Jepun sebuah universiti swasta berhampiran berkata, ketika mendengar pengumuman mengenai nasib pesawat malang itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lalu, dia tenang dan tidak terkejut.

Saya hanya akan percaya mengenai pengumuman pesawat (terhempas) selepas pasukan penyelamat menjumpai bukti seperti serpihan pesawat atau mayat. Selagi tiada pengesahan dan saya tidak melihatnya dengan mata saya sendiri, saya percaya ayah masih hidup, katanya.

Katanya, sejak kejadian rakan sering berkunjung ke rumah bagi memberi sokongan moral dan kata semangat.

Menetap rumah saudara

Kata Ahmad Seth, ibunya kini tinggal bersama-sama ibu saudaranya.

Aktiviti harian saya seperti biasa dan kelas tidak terganggu disebabkan perkara ini. Saya lebih senang menghabiskan masa bersama rakan, tambahan pula kelas di universiti baru bermula.

Maaflah, ada kawan di dalam tu, saya perlu melayan mereka, katanya sebelum mengakhiri pertemuan.



Download