Tegar SiMiskin Bersuara Emas



KEHIDUPAN penyanyi Tegar Septian tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang berada di alam persekolahan. Sebaliknya, jadual hariannya lebih banyak dihabiskan di jalanan.
Sudah mula menjadi penyanyi jalanan sejak berusia tujuh tahun, semuanya itu terpaksa dilakukan lantaran kehidupan keluarganya yang cukup miskin.
Itulah pengorbanan yang cukup besar buat kanak-kanak sepertinya demi mencari sesuap nasi tetapi itu semua tinggal sejarah dan Tegar sekarang bukan seperti yang dahulu lagi.
Hari ini namanya sudah meledak gara-gara lagu nyanyiannya iaitu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang semakin popular, bahkan salah sebuah klip video lagu berkenaan sudah ditonton sebanyak 4.9 juta kali di YouTube.
Berbekalkan sebuah alat muzik yang dikenali sebagai ukulele yang sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja, Tegar menjelajah ke seluruh Indonesia untuk membuat persembahan serta pernah berduet dengan beberapa penyanyi popular termasuk dengan kumpulan Noah, Setia Band dan Delima.
Berkesempatan bertemu dengan penyanyi cilik itu dalam rangka promosi albumnya, Tegar Dan Sahabat di Malaysia minggu lalu, tidak dinafikan banyak kisah menarik tentang anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu.
"Kalau mendengar lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang, itulah kisah diri saya sepanjang enam tahun menjadi penyanyi jalanan. Semuanya itu terpaksa dilakukan kerana kesempitan hidup.
"Sekarang saya amat bersyukur kerana semuanya berubah dan tidak menyangka tindakan seseorang yang telah memuat naik video saya di YouTube ketika menyanyi di jalanan mengubah keseluruhan kehidupan saya," ujar penyanyi kelahiran daerah Indramayu, Indonesia itu.

Cerita Tegar berkenaan kebolehannya dalam nyanyian, dia menyatakan bakat sebagai seorang penyanyi yang dimilikinya itu diwarisi daripada ibunya yang turut bergelar seorang penyanyi jalanan.
Ujarnya, pendapatan harian yang diraihnya pula sekitar RM30 sehari dan ia sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya di sebuah kota yang besar.
"Biasanya kalau ada duit lebih saya dan rakan-rakan lain gemar ke kafe siber dan sering membuka laman YouTube untuk mendengar lagu. Dengan cara sedemikian ia membantu saya mempelajari lebih banyak lagu untuk dipraktikkan semasa menyanyi di jalanan," ungkapnya.
Merasakan hidup sebagai penyanyi jalanan sangat bebas dan menyenangkan, Tegar menyatakan, dia tidak terlepas daripada melakukan perkara negatif akibat kehidupan yang tidak terkawal.
Tanpa berselindung menceritakan tentang cara hidup lampaunya, penyanyi berkenaan memberitahu, dia selalu menghisap rokok dan menghidu gam akibat terpengaruh dengan cara kebanyakan penyanyi jalanan di tempatnya itu.
"Alhamdulillah, kehidupan saya sekarang ini sudah jauh berubah dan tidak lagi melakukan perbuatan sebegitu. Namun begitu, saya tetap merindui pekerjaan lama, meskipun sudah popular," jelasnya.
Bantu keluarga
Jika dahulu pendapatannya tidaklah terlalu lumayan kerana terpaksa bersaing dengan penyanyi jalanan lain, kini Tegar boleh berbangga kerana pada usia yang masih muda hidupnya jauh lebih mewah.
Ujar Tegar, dia berasa gembira kerana segala yang dilakukannya sekarang telah membantu kewangan keluarga untuk mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna.
"Perkara yang paling membanggakan saya sudah tentunya dapat membeli sebuah rumah dan motosikal. Ia memberikan suatu kepuasan tidak terhingga kepada diri saya.
"Tidak dinafikan kehidupan saya cukup sibuk memenuhi undangan nyanyian di merata-rata tempat dan adakalanya berasa terlalu penat tetapi demi keluarga saya ketepikan semuanya," ujarnya.
Memandangkan dahulu dia terpaksa menjadi penyanyi jalanan sehingga tidak ke sekolah, ia menyebabkan penyanyi cilik itu tidak dapat membaca dan menulis.
"Kini pihak pengurusan saya telah mengupah seorang guru untuk mengajar saya di rumah. Disebabkan jadual saya yang padat, sudah tentu langkah sedemikian lebih berkesan berbanding masuk ke sekolah biasa," jelasnya.


PERNAH terjebak sebagai penghidu gam, Tegar kini perlahan-lahan meninggalkan tabiat buruknya.
Berbakat
Kehadiran Tegar ke Malaysia untuk mempromosikan albumnya itu tidak berseorangan, sebaliknya ia turut ditemani pengurus yang merangkap bapa angkatnya iaitu Alfaas Hermansyah.
Alfaas berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab mengesan bakat dan membawanya ke studio rakaman Harpa Records, dia melihat Tegar seorang penyanyi berbakat besar serta memiliki tarikan sendiri.
"Ternyata agak sukar untuk menjaganya dan harus bijak melayan kerenahnya. Semua ini berpunca kerana kehidupannya jalanan yang banyak mempengaruhi dirinya.
"Pada usia yang masih kecil dia sudah menghisap rokok dan menghidu gam tetapi tidaklah sampai terjebak dalam najis dadah. Bagaimanapun, semuanya itu sudah ditinggalkannya, malah saya sendiri kurang merokok kerana mahu menunjukkan teladan yang baik," jelasnya.
Sepanjang mengenali diri penyanyi cilik itu, Alfaas menerangkan bahawa Tegar seorang kanak-kanak yang mudah dibentuk dan berkeinginan tinggi untuk mengubah dirinya.
Ujarnya, kegiatan yang kerap dilakukan iaitu pergi ke kafe siber semasa menjadi penyanyi jalanan dahulu turut membantu kerana dia selalu belajar menyanyi dengan melayari YouTube.
"Kalau menyelusuri kehidupan Tegar ini cukup menarik dan disebabkan itu dia bakal terbabit dalam sebuah filem yang menceritakan tentang kehidupannya yang lalu sehingga bergelar penyanyi popular.
"Mengikut perancangan dia akan mula menjalani penggambaran pada bulan hadapan, namun semuanya bergantung kepada jadualnya. Berkenaan tajuk pula kami masih belum menetapkannya lagi," jelasnya.
Ini videonya sebelum terkenal







setelah liriknya diedit




Download