Kenangan Dulu-dulu Bersama Pak Kasim(Kenangan zaman sekolah ikat kemesraan)


Kenangan zaman sekolah ikat kemesraan



Petang Jumaat lalu, saya terima panggilan dari Alor Setar. Apabila ditanya siapa, suara di hujung sana menjawab: "Orang Taman Golf!" Dan apabila disebut Taman Golf, tahulah saya bahawa dia adalah pengetua sekolah menengah saya dahulu, Cikgu Kassim Saad yang kami semua panggilnya Pak Kassim.


Rupa-rupanya sepanjang hari itu, Pak Kassim cari nombor telefon saya. Apabila mendapat peluang bercakap, dia langsung bertanya: "Hang tulih pasai saya, pasai apa?"

Pada hari itu, tulisan saya perihal kenakalan zaman sekolah, saya 'culik' burung merpatinya, disiarkan.

Walaupun dalam tulisan itu saya muatkan permohonan maaf kepada Pak Kassim, saya sama sekali tidak menyangka dia sendiri akan cari saya. Senior saya yang sekarang jadi ketua warden asrama kami dahulu, Cikgu Rusli Endut, beritahu, "Pak Kassim dok cari hang dari pagi lagi..."

Jadi, apabila dapat peluang bercakap dengannya, saya pun apa lagi: "Mintak maaf cikgu, saya memang berhajat balik Aloq Setaq, saya nak pi rumah cikgu, nak cium tangan cikgu. Cuma cikgu jangan mintak balik burung merpati tu, semua dah masuk dalam perut saya!"

Sebaik menuturkan kata-kata itu, di hujung sana, saya dengar Pak Kassim ketawa, ketawa yang besar sekali. Itu sekarang. Kalau dululah dia dapat tangkap saya, sudah tentu bukan ketawa besar yang saya dapat tetapi rotan besar. Saya memang pernah kena rotan dengan Pak Kassim tetapi bukan atas sebab curi burung merpati, ada kes lain.

Pak Kassim seorang pengetua yang tegas. Namun dalam ketegasannya, cukup terserlah sifat penyayangnya kepada pelajar.

Atas sebab itu, daripada komen kawan-kawan pada 'wall' Facebook saya selepas tulisan itu disiarkan, rata-ratanya mengakui, bekas pelajar sekolah kami sememangnya cukup terkesan dengan perasaan sayang, atau sekurang-kurangnya perhatian Pak Kassim.

Pernah seorang kawan saya, yang selepas tamat persekolahan, menyimpan rambut panjang untuk lepas gian jadi 'rocker', suatu hari terserempak dengan Pak Kassim di bandar.

Oleh kerana segan, kawan saya ini berpura-pura tidak kenal. Namun mata Pak Kassim tak lepas-lepas daripada memandangnya hingga seorang kawan lain yang ada bersama, bertanya: "Chin, awat orang tua tu (Pak Kassim) asyik dok tengok hang?" Yang si bertanya ini memang tidak kenal Pak Kassim sebab dia bukan pelajar sekolah itu.

Oleh kerana malu alah kepada rakannya, mahu tidak mahu, Chin terpaksa juga pergi dekat. "Mintak maaflah cikgu, ingatkan cikgu tak kenai (kenal) saya," katanya.

"Mana buleh anak murid saya, saya tak kenai," balas Pak Kassim.

"Malu weh! Malu sangat-sangat bila dia sound macam tu," imbas kawan saya yang mati-mati menyangka dengan rambutnya yang panjang lepas bahu itu, dia tidak dikenali lagi oleh bekas pengetua.

Seorang lagi kawan, lain pula ceritanya. Dalam catatan di Facebook saya, dia mengaku semasa zaman sekolah dahulu, dia kaki ponteng.

"Satu hari tu, Pak Kassim mai meronda di asrama. Aku pun apa lagi, loncat naik atas katil, tarik selimut tutup. Bila dia tanya, aku kata demam. Aku ingat Pak Kassim nak marah, rupa-rupanya dia pi beli nasi siap dengan ayaq (air) tapau bawak mai kat aku," katanya. Sejak itu, dia tidak berani ponteng lagi sebab 'tersentuh' dengan cara Pak Kassim.

Kegilaan zaman sekolah cukup melucukan apabila dikenang.

Pernah suatu malam, kira-kira jam dua pagi, saya berasa sangat sunyi. Lalu saya terfikir, suasana yang sunyi sepi itu perlu dimeriahkan sedikit. Langkah pertama, saya ubah jarum jam besar dalam dorm, daripada dua, ditukar kepada enam. Kemudiannya, saya tekan siren.

Lalu bingkas bangunlah semua adik-adik junior, pelajar tingkatan satu dan dua. Saya dekati seorang daripada mereka, Hafizul Ahmad Salim yang sekarang penghulu di Langkawi, lalu bertanya: "La pukui berapa Pizul?"Dia yang ketika itu sedang sibuk menggulung kelambu menjawab: "Eh abang, jam saya mampuih (mati) la..." sambil menoleh ke arah jam besar yang saya sudah ubah jarumnya.

Oleh kerana melihat jam tangannya baru pukul dua, dia menyangka jamnya mati. Saya kemudian berkata kepada Hafizul, "hang tidoq baliklah Pizul, awai lagi ni." Dia membalas, "awai apa abang, sat lagi dah nak pi sekolah."

Ketika itu, ramai sudah adik-adik saya yang mandi, malah ada yang sudah pakai seragam sekolah. Hanya apabila ada yang bersiap sedia hendak iqamat untuk solat subuh, barulah saya pergi kepada mereka dan bertanya: "Hangpa semua ni nak sembahyang tahajud ka apa? Baru pukui dualah" sambil menunjukkan jam di tangan saya.

Tidak terbayang oleh saya andai saya biarkan sahaja mereka pergi sekolah jam tiga pagi hari itu.

Walaupun mereka akhirnya sedar telah dikenakan oleh saya, malah ada juga yang marah-marah namun kemarahan itu tidak lama. Hingga hari ini, kami masih berhubungan mesra. Ketika ke Langkawi baru-baru ini, saya sempat meluangkan masa mengajak Penghulu Hafizul makan malam bersama keluarga saya. Dia ternyata sudah tidak dendam lagi kepada saya.

Kalau dia dendam pun, saya boleh kata, "bukankah aku dah suruh hang tidoq balik pagi tu?"

Malah kalau tidak kerana kenangan jam dua pagi itu, mungkin hubungan kami tidak semesra ini.


Posted:MUHAMAD MAT YAKIM
Download