Memey Diminta Masak Oleh Mertua Di Pagi Raya


KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2012: Pertama kali menyambut hari r aya selepas bergelar isteri, pelakon Memey Suhaiza akui sambutan Aidilfitrinya kali ini amat bermakna kerana dapat meraikannya bersama dengan suami tercinta, Norman Hakim dan keluarga barunya iaitu keluarga mertua.

Malah Memey memberitahu mertuanya daripada awal ramadan lagi sudah memintanya untuk memasak masakan tradisi Johor iaitu Nasi Ambeng pada pagi raya pertama di rumah keluarga Norman Hakim yang terletak di Kuantan, Pahang.

"Pertama kali beraya sebagai isteri, saya akan mengikut Norman untuk pulang beraya ke kampung halamannya terlebih dahulu sebelum kami beraya di rumah keluarga saya di Johor pada hari raya ke-2.

"Istimewanya raya kali ini, saya akan memasak juadah hari raya di rumah mertua. Lagipun ketika kami pulang berjumpa ibu Norman pada awal ramadan lalu, mak mertua saya sudah meminta saya untuk memasak Nasi Ambeng kerana katanya teringin untuk memakannya di pagi raya.

"Rasanya saya tiada masalah untuk menunaikan permintaannya, malah saya seronok kerana hubungan saya dan keluarga Norman sangat rapat sejak sebelum kami kahwin lagi. Jadi tak mungkin saya akan rasa kekok nanti," katanya ketika dihubungi oleh murai.com.my

Selain Nasi Ambeng, Memey memberitahu dia tidak boleh melupakan juadah wajibnya setiap pagi raya seperti di Johor iaitu Ketupat, kuah Lodeh dan kuah kacang walaupun menyambut Aidilfitri di rumah mertuanya.

"Meskipun ini pertama kali saya beraya tanpa keluarga saya sendiri, namun saya tetap tidak akan melupakan juadah tradisi keluarga saya dari Johor untuk di bawa ke kampung Norman.

"Selain Nasi Ambeng , saya tetap akan memasak juadah raya wajib saya iaitu Ketupat, kuah Lodeh dan kuah kacang pada pagi raya di rumah keluarga Norman. Lagipun, setahu saya di Kuantan terutama sekali di rumah keluarga Norman, mereka tidak ada juadah raya yang wajib. Yang ada cuma juadah biasa seperti nasi ayam dan sebagainya," ceritanya yang kini sedang hamil 3 bulan.

Memey yang berehat sepanjang ramadan ini bakal bercuti raya bersama suami tercinta selama 2 minggu. Memey dan Norman telah diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 24 September tahun lalu.
Download