Tak popular tapi bahagia
PETANG yang penuh syahdu, diusik samar cahaya dari belakang banglo milik Asmawi Ani, 31, majlis kenduri doa selamat dan tahlil ringkas buat puteri tercinta, Cahaya Malaika berlangsung lancar.
Puteri sulung milik pasangan Mawi dan isterinya, Nor'Asikin Rahmat atau Ekin itu kini sudah memasuki usia tiga bulan selepas selamat dilahirkan pada tanggal 28 Februari lalu.
"Majlis ini diadakan untuk tujuan akikah Cahaya memandangkan majlis cukur jambul, berzanji dan marhaban dibuat terlebih dulu sempena perkahwinan adik saya di Kulai, Johor, sebelum ini," ujar Mawi ketika ditemui di kediamannya di Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi, Selangor kelmarin.
Ditanya mengenai signifikan tarikh yang dipilih untuk mengadakan kenduri berkenaan, ujar Mawi, tiada yang istimewa melainkan bagi tujuan memudahkan urusan memandangkan cuti hujung minggu.
"Tiada yang istimewa pun tarikh untuk kenduri kesyukuran hari ini (Ahad), tapi sebab cuti hujung minggu, jadi tetamu pun senang datang sebab ada kelapangan.
"Kebetulan pula keesokan hari iaitu (Isnin), umur Cahaya genap tiga bulan," tambah Mawi.
Nama Cahaya Malaika dipilih sendiri oleh Mawi dan Ekin ketika dalam tempoh kehamilan yang membawa maksud Cahaya Permaisuriku.
Ujar lelaki yang namanya meledak selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) lebih lima tahun lalu itu, dia bahagia melihat perkembangan anak perempuannya membesar di depan mata dan teruja menantikan perubahan demi perubahan yang bakal dilalui Cahaya.
"Sekarang kalau ada cerita kartun di kaca televisyen, Cahaya akan diam dan tengok saja, buat masa sekarang pembesarannya sama seperti bayi lain," luah Mawi berukir senyuman.
Mawi bagaimanapun tidak menolak sekiranya Cahaya mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya sebagai orang seni, namun perlu disusun dan diatur kehidupannya dengan berhemat.
"Selagi baik untuk dia, kami sebagai ibu bapa sokong, tak kisah kalau dia suka untuk terlibat dalam bidang seni.
"Kalau dia mahu jadi artis, jadilah artis yang baik, kami ikut saja apa yang dia suka," kata Mawi yang pernah berjauhan daripada Cahaya dalam tempoh empat hari ketika membuat persembahan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
ANUGERAH terindah dalam hidup Mawi dan Ekin, Cahaya Malaika. Anak sulugnya itu disifatkan sebagai tidak banyak meragam.
Tak popular
Raut wajah pelantun lagu Aduh Saleha itu berubah kala ditanya mengenai populariti. Dahinya berkerut.
Pernah suatu ketika juara AF3 itu meraih pelbagai anugerah dan dilimpahi rezeki tak putus-putus ketika namanya berada di puncak.
Namun kini, dia lebih akur akan perjalanan seninya yang semakin perlahan dan barangkali sudah tidak selaris dahulu.
"Saya masih menerima undangan untuk mengadakan persembahan, cuma tidak sebanyak selepas saya keluar daripada AF dulu. Sekurang-kurangnya empat atau lima kali dalam masa sebulan.
"Walaupun kadar bayaran sekarang tidak seperti ketika saya popular dahulu, tapi saya masih boleh menyara kehidupan keluarga saya. Tuduhan bahawa saya sudah muflis sebelum ini tidak benar sama sekali dan Insya-Allah saya masih boleh hidup dalam bidang seni," tegasnya.
Malah, Mawi sudah membuat persediaan awal untuk menjamin kelangsungan hidupnya sebagai seorang penyanyi dan selebriti yang senantiasa menjadi bahan perhatian.
"Saya sudah bersedia dari awal-awal lagi, selain bidang nyanyian yang merupakan sumber periuk nasi, saya turut mencuba bidang penerbitan. Saya yakin bidang yang sedang saya usahakan ini berkekalan untuk jangka masa yang panjang," getusnya penuh yakin.
Tambah Mawi lagi: "Selagi peminat mahukan saya menyanyi, saya akan terus menyanyi. Saya tidak akan berundur."
Siapa Dapat Lisa
Sementara itu, Mawi dijadualkan keluar bersama single terbaharu berjudul Termolek ciptaan Datuk M.Nasir dan lirik oleh Ad Samad tidak lama lagi.
"Penggambaran klip video single itu akan dijalankan pada bulan Jun nanti bersama sebuah lagi single Siapa Dapat Lisa," singkap Mawi.
Siapa Dapat Lisa juga akan diterbitkan sebagai sebuah telefilem sempena Hari Raya Aidilfitri pada 23 Ogos nanti dan akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.
Telefilem terbitan syarikat milik Mawi sendiri, MW Entertainment Sdn. Bhd. itu akan dibintangi oleh anggota kumpulan Sepahtu (Shuib dan Jepp), Didie Alias serta Yasmin Hani.
Mawi juga dalam perancangan menerbitkan album kumpulan Sepahtu.
Mawi dan Ekin melayan tetamu yang hadir pada majlis akikah anak sulungnya.
Dalam perkembangan lain, Mawi yang bekerjasama dengan Art Effect bakal merakamkan sebuah album Asma Ul-Husna yang dipecahkan kepada 10 buah lagu.
"Melodi nyanyian lagu kerohanian ini masih sama seperti yang kita dengar setiap hari cuma menariknya dipecahkan kepada beberapa track," katanya yang dijadual memulakan projek itu bersama Hafiz Hamidun pada bulan Ramadhan nanti.