KUALA LUMPUR – Keluarga kepada seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Moodliar menerima tamparan hebat meskipun masih diselubungi trauma ekoran insiden penculikannya.
Bapa Nayati, Shamelin telah dibuang kerja kerana enggan berpindah keluar dari Malaysia selepas anaknya yang berusia 12 tahun dibebaskan.
“Majikan saya memberitahu Malaysia tidak selamat, maka mereka memberi notis seminggu meminta kami sekeluarga untuk pulang ke Belanda.
“Saya tidak fikir rakyat Malaysia berhak menerima kenyataan itu selepas apa yang mereka lakukan untuk mengembalikan anak lelaki kami.
“Dan bagaimana kami pergi dari sini? Kami perlu berada di sini bagi memastikan proses pendakwaan berjalan.
“Kami mempunyai tanggungjawab untuk memastikan penculik-penculik itu dikenakan tindakan undang-undang supaya mereka tidak akan melakukannya lagi,” kata Shamelin berusia 41 tahun, merupakan seorang perunding di sebuah firma pengurusan antarabangsa yang disertainya sejak setahun setengah lalu.
Shamelin dalam satu temuramahnya bersama The Star berkata, beliau dihantar ke Malaysia dari Belanda lapan bulan lalu bagi membantu syarikat itu mencapai sasaran pengembangannya di Asia.
Nayati yang diculik sewaktu berjalan kaki ke Sekolah Antarabangsa Mon’t Kiara pada 27 April lalu, telah dibebaskan selepas enam hari kemudian apabila membayar wang tebusan sebanyak RM300,000.
Tiga lelaki telah didakwa di mahkamah majistret di sini di bawah Akta Penculikan 1961. Bagaimanapun, dalangnya masih lagi terlepas dan dipercayai melarikan diri ke Eropah.
Shamelin mendakwa syarikat di mana beliau berkhidmat telah “menganiaya” beliau sebaik sahaja tiba di Malaysia.
“Saya menyuarakan kebimbangan mengenai kami tidak mempunyai pelanggan yang cukup fokus dan terlalu sentrik-Euro, tidak cukup mendengar dan cuba untuk memahami.
“Saya melihat apa yang berlaku dan membuat keputusan, mewakili rakan-rakan sekerja.”
Shamelin berkata, majikannya pada Mac lalu cuba untuk menamatkan kontraknya tetapi tidak mempunyai alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.
Beliau menambah: “Mereka tidak boleh memecat saya kerana prestasi kerja saya yang baik, jadi selepas beberapa percubaan untuk memberhentikan saya, menakutkan-nakutkan malah cuba untuk mengusir dari rumah kami, dan perkara-perkara tersebut senyap semasa penculikan berlaku.
“Sejurus selepas itu, walaupun mereka cuba untuk mengambil kesempatan terhadap situasi yang dihadapi kami, mereka terus meminta kami untuk kembali ke Belanda, tanpa sebarang prospek kerja pun.
“Ini mungkin sebab ia akan menjadi lebih mudah bagi mereka untuk menamatkan kontrak saya di sini. Jika mereka benar-benar prihatin terhadap saya, mereka tidak akan memecat saya tanpa bayaran atau tempat untuk tinggal.
“Mereka memecat saya kerana saya enggan untuk meninggalkan Malaysia dan masyarakat di sini yang berbudi dan saling bantu-membantu.”
Sehingga berita ini ditulis, beberapa percubaan telah dilakukan untuk menghubungi majikan Shamelin tetapi tidak berhasil.
Shamelin berkata, keutamaannya kini adalah keluarga, yang mendapatkan bantuan profesional untuk menangani trauma terutama Nayati supaya dia kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Kami hampir ‘berpecah’ sebagai sebuah keluarga kerana pengalaman pahit. Sekarang kami sudah mendapatkan dia (Nayati) semula dan cuba untuk membawanya menjalani kehidupan bersama-sama kami, tetapi mereka (syarikat) menggunakan peluang ini untuk menggesa supaya keluar dari sini.”
Shamelin berkata, ketika ini Nayati berusaha untuk membantu pencarian kanak-kanak yang hilang dengan membuat video log.
“Nayati memberitahu saya: ‘Saya amat bertuah dapat kembali dan semua orang telah membantu untuk mencari saya tetapi masih ramai kanak-kanak yang masih hilang. Saya perlu bertanggungjawab untuk bersuara bagi membantu kanak-kanak lain.’
“Sebagai ibu bapa, kami mahu membantu dia melakukannya di samping memastikan dia cukup bersedia dari segi mental dan emosi.
“Walaupun sekarang saya tidak mempunyai pekerjaan dan kami akan kehilangan rumah kami, kami akan meneruskan kehidupan berdasarkan prinsip dan berjuang untuk apa yang benar,” kata beliau.-MStar