Kerana Facebook Cinta Bersatu



Perkenalan singkat jadi mudah dengan restu keluarga

LANGKAH pertama Ahmad Taqiyuddin Ariffin, 29, atau lebih senang disapa sebagai Taqi mengintai laman sembang sosial facebook (FB) si dara manis, Nur Sara Mohd Azaman, 27, dengan niat untuk berkenal rapat menjadi permulaan kisah cinta merpati dua sejoli ini.
Kata Nur Sara, kali pertama Taqi mengenalinya, dia sedang menjalin hubungan akrab dengan seseorang, namun Taqi kembali menghubunginya apabila mengetahui dia bersendirian setahun kemudian.
“Semua berlaku terlalu pantas dan mudah mungkin kerana sudah jodoh kami berdua. Taqi meminta nombor telefon saya daripada kenalan rapat dan sempatlah kami berkenalan sebelum sepakat bertunang, enam bulan kemudian.

“Dengan izin kedua-dua orang tua, kami bertunang selama sembilan bulan dan kemudian disatukan sebagai suami isteri, pada 18 Mac lalu di Masjid Telipot, Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Menariknya lagi, kedua-dua anak sulung yang bertemu jodoh di ibu kota itu adalah anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang.

“Saya berasal dari Kota Bharu, manakala Taqi pula anak kelahiran Pasir Puteh. Hubungan tambah lancar apabila ia terjadi seperti dirancang keluarga yang sebolehnya mahukan kami bertemu jodoh dengan orang senegeri,” katanya tersenyum.
Kata Nur Sara, mengenali suaminya walaupun dalam tempoh perkenalan singkat sedikit pun tidak mendatangkan masalah baginya kerana sebagai wanita, dia cukup selesa dengan sifat Taqi yang cukup tenang.

Akuinya lagi, sepanjang perkenalan sehingga bergelar suami isteri juga mereka tidak pernah berselisih faham dan dia tidak menolak, mungkin kerana usia perkahwinan yang masih baru.

“Tapi mungkin kerana sikap suami yang selamba, memberi kebebasan dan memahami kehendak saya, manakala saya sendiri juga tidak cerewet dalam hubungan memudahkan komunikasi kami berdua.

“Bagaimanapun, pesanan Taqi yang sering mengingatkan supaya menjaga diri dan tahu had batasan sebagai isteri sentiasa disemat dalam hati kerana itu jugalah petua terbaik menjaga kerukunan rumah tangga,” katanya.

Selepas hampir lapan bulan hidup berumah tangga, pasangan ini masih tidak dapat melupakan saat manis tatkala diijab kabul.

Penatnya memenuhi kehendak jurugambar juga menjadi memori bagi Nur Sara, malah dianggap sebagai satu cabaran bagi Taqi sendiri, seorang Eksekutif Pembangunan Perniagaan di syarikat kewangan terkemuka di ibu kota yang turut menjalankan kerja sambilan sebagai jurugambar perkahwinan.

“Kami terpaksa membuat slot video praperkahwinan berulang kali sehingga kepenatan gara-gara mahukan video terhasil sempurna dan akhirnya video perkahwinan kami menjadi kegilaan semua orang,” katanya tertawa kecil.

Persalinan indah digayakan pasangan ini ketika majlis persandingan di Kelantan Trade Centre (KTC) pada tarikh sama diijab kabul punyai rahsia tersendiri.

Menurut Nur Sara, konsep pakaian dibuat sepadan tema majlis yang ringkas dan moden, manakala warna dipilih pula ada gabungan tona kegemaran kami berdua.

“Sara gemar warna merah jambu, manakala suami pula sukakan warna kelabu. Jadi apabila digabungkan, terhasillah padanan warna yang lembut dan manis itu.

“Bagaimanapun, kejayaan majlis kami juga banyak dibantu pereka terkenal Wan Huzairil dan abangnya, Wan Huzaidee yang cukup rapat dengan keluarga Sara.

“Keluarga Sara dari dulu lagi menggunakan khidmat mereka apabila ada majlis pertunangan dan perkahwinan, malah masa bertunang dulu pun Sara gunakan khidmat Wan Huzairil,” katanya.

Beberapa ketika selepas majlis persandingan, kedua mereka sempat berbulan madu di Phuket, Thailand.
Download