Tidak seperti anak orang utan yang lain, Sara tidak berpeluang bermanja dengan ibunya, Jerangkung yang mati ketika melahirkannya akibat pendarahan. Kehilangan Jerangkung diratapi bukan sahaja rakan-rakannya malah turut meruntun jiwa kakitangan Pulau Orang Utan di pusat peranginan Bukit Merah Lake Town Resort, Perak.
Malah ada jururawat dan penjaga penghuni di sini tidak dapat menahan air mata melihat Sara yang tidak sempat merasai kehangatan kasih sayang ibunya. Ekoran insiden tragis itu, Sara ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). Haiwan ini dijaga rapi oleh jururawat khas dan kesihatan serta perkembangannya dipantau Dr D. Sabapathy. Mungkin kedengaran aneh namun inilah hakikatnya, Sara dibelai seperti bayi.
Sara bukan sahaja minum susu awal lembu seperti bayi manusia malah anak orang utan yang kini berusia lapan bulan ini juga memakai lampin pakai buang. Sara juga sangat manja dan suka diberi perhatian.
Menurut Dr D. Sabapathy, Sara memerlukan penjagaan rapi agar dirinya tidak rasa terpinggir. Anak orang utan betina ini memerlukan 19 hingga 21 keping lampin pakai buang sehari bagi memastikan dirinya selesa dan bersih.
“Sebagai doktor yang sudah lama berkhidmat di sini, kematian orang utan amat meninggalkan kesan mendalam di hati saya. Hubungan saya dengan penghuni di sini amat akrab, saya kenali setiap karakter orang utan yang berada di bawah jagaan kami.
“Walaupun membesar tanpa kasih sayang ibu, Sara menunjukkan perkembangan positif. Kami memastikan Sara mendapat nutrisi lengkap agar membesar dengan baik. Begitu juga dengan Jidin yang turut mendapat layanan istimewa. Setiap orang utan yang lahir di sini mempunyai sijil kelahiran dan kami menyimpan rekod kesihatan mereka untuk rujukan,” ujarnya.
Ajar Berdikari
Dalam temu bual itu. Dr D. Sabapathy juga mengatakan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah yang dirasmikan, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ditubuhkan khusus bagi melindungi spesis itu dari terus diancam kepupusan. Pulau Orang Utan juga menjadi pusat pemuliharaan dan penyelidikan orang utan.
“Pulau ini menyediakan kemudahan seperti unit rawatan rapi atau bilik pemulihan yang menempatkan anak orang utan bermasalah. Di sini juga terdapat unit pembangunan dan perkembangan, unit pengenalan dan kawalan serta kawalan dan pelepasan.
“Anak orang utan akan diajar berdikari dan membiasakan diri dengan kehidupan di hutan. Lebih istimewa, pulau ini turut menjadi pusat rujukan penyelidikan Orang Utan di Malaysia yang membabitkan pelatih universiti tempatan di Sabah dan Sarawak,” cerita Dr D. Sabaapathy.
Terhibur lihat aksi penghuni Pulau Orang Utan yang mempunyai keluasan 35 ekar ini turut dilengkapi dengan pusat sumber dan bilik teater selain terowong khas sepanjang 100 meter yang dikhaskan bagi pengunjung dan penyelidik yang ingin melihat secara dekat aktiviti spesis terbabit.
Sehingga kini, terdapat 26 ekor Orang Utan yang mendiami pulau ini. Bagi pengunjung yang ingin melawat Pulau Orang Utan, mereka akan dibawa menaiki feri merentasi tasik. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 15 minit ini, pengunjung disajikan dengan pemandangan alam semulajadi. Ketibaan pengunjung disambut senyuman manis kakitangan yang setia menemani lawatan ke seluruh pelusuk pulau ini.
Gelagat atau aksi penghuni di sini benar-benar mencuit hati, setiap Orang Utan mempunyai karakter istimewa. Mike antara penghuni yang paling senior, dengan berat badan mencecah 120 kg si jantan ini masih bertenaga dan gemar makan kelapa muda.
Walaupun sedang sarat mengandung anak keenam, Baboon tetap sporting memberi pose istimewa kepada pengunjung pulau ini. Dalam banyak-banyak penghuni, aksi Malik yang suka bergambar dengan pose macho membuatkan pengunjung tergelak besar.
Dalam lawatan itu, pengunjung bukan sahaja terhibur malah lebih penting mendapat lebih banyak informasi mengenai Orang Utan dan kesedaran perlunya menjaga spesies liar ini agar tidak pupus.