BUAT SIPEROKOK......INILAH MASANYA


Ramadan masa henti merokok.


PEROKOK sedar merokok merosakkan kesihatan diri dan orang di sekeliling dan sering kali perokok memikirkan untuk berhenti merokok. Sebahagian besar sudah mencubanya walaupun gagal.Ye ke sedar??
Berdasarkan kajian, 85 peratus perokok yang berusaha meninggalkan tabiat itu secara purata mencuba empat kali sebelum berjaya melepaskan diri daripada cengkaman rokok. Dunia sains sudah mengenal pasti sebab yang menyukarkan seseorang berhenti merokok dan antaranya ialah sifat ketagihan terhadap nikotin, bahan bahaya dalam kandungan asap rokok.
Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, toleransi dan tarikan, ada kalanya mungkin lebih hebat berbanding heroin. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti resah, mempunyai perasaan marah dan tertekan.
Memandangkan rokok mudah diperoleh, murah dan boleh dihisap di khalayak ramai tanpa masalah seperti heroin, perokok dapat menambahkan keperluan nikotin dalam darah selepas merokok.Oleh itu, terlalu sukar bagi seseorang yang terjerat dengan ketagihan merokok meninggalkan tabiat itu.Bagaimanapun, pada Ramadan al-Mubarak, perokok yang aktif sekalipun boleh berhenti merokok melebihi 12 jam bermula dari sahur hingga berbuka.

Ini perkara yang tidak dapat dijawab dengan ilmu sains kerana mengikut keadaan biasa selepas dadah nikotin dalam darah menurun beberapa jam, otak akan memberi arahan meminta tambahan nikotin.

Perkara ini tidak berlaku ketika Ramadan kerana perokok boleh berhenti melebihi 12 jam dan ini menandakan laluan rangsangan otak berpusat di mesolimbik adalah tumpul pada masa itu.

Ini berlaku kerana iman di dada sedar keperluan menunaikan ibadat puasa dan dengan kekuatan rohani itu mengatasi pengaruh jasmani atau fizikal.

Untuk berhenti merokok memerlukan motivasi, keazaman dan daya usaha yang gigih bagi mengatasi rasa ketagihan terhadap nikotin yang terkandung dalam asap rokok.

Sebanyak peratus perokok berjaya berhenti merokok dengan daya usaha sendiri melalui keazaman yang tinggi disebabkan pengaruh kawan yang berperanan besar menggagalkan wawasan itu.

Pengalaman pakar perubatan mendapati, Ramadan memberi kelebihan kepada mereka yang berhajat meninggalkan tabiat merokok dan sewajarnya umat Islam mengambil peluang yang datang untuk mengatasi masalah ini.

Ada riwayat menyebut, semua pintu langit dan syurga dibuka setiap Ramadan, iblis dan syaitan dirantai supaya mereka tidak dapat mengacau dan mengganggu kaum Muslimin dan seterusnya merosakkan puasa dan bangun malam mereka. Pada setiap malamnya pula, ada suara menyeru: Siapa yang mahu kebajikan, mari! Siapa yang mahu kejahatan, berambuslah! Semoga kita dapat menyambut kebaikan yang diseru pada Ramadan ini untuk membuat kebaikan dengan meninggalkan tabiat penagihan dadah nikotin buat selamanya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Ramadan itu ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran ialah masuk syurga”.

Pada peringkat awal ini, pemimpin masyarakat dan pemimpin agama adalah diseru agar membebaskan diri daripada tabiat merokok agar mereka mudah dicontohi.

Dengan berbekalkan iman di dada, marilah kita bersama-sama dengan penuh rasa keinsafan dan harapan, mohon bantuan dan pertolongan dari Allah agar kaum bapa-bapa berjaya meninggalkan tabiat merokok yang dan seterusnya menjaga kesejahteraan diri anak-anak dan isteri mereka.

Amin Yarabbal Alamin..
Download